LUMUT – Festival Pulau Pangkor 2023 (PIF2023) yang bakal berlangsung pada 28 hingga 30 September depan dijangka menarik kehadiran kira-kira 20,000 pengunjung ke pulau berkenaan.
Pengarah PIF2023, Eric Ch’ng Lip Kang berkata, PIF2023 yang merupakan edisi keenam festival tersebut sejak mula dianjurkan pada 2013 mengetengahkan tema Kebersamaan pada tahun ini, selari dengan ulang tahun ke-10 penganjurannya.
Beliau menjelaskan, nombor 10 melambangkan kesempurnaan, keutuhan dan perpaduan dalam budaya Cina, justeru edisi kali ini bertemakan ‘Togetherness’ ataupun Kebersamaan dalam bahasa kebangsaan.
“Sehubungan itu, PIF2023 berhasrat untuk menjemput orang ramai, artis dan pasukan persembahan serta rakan-rakan dari Perikatan Pulau untuk kembali semula ke Pulau Pangkor pada tahun ini bagi memeriahkan sambutan festival berkenaan.
“Festival ini akan menampilkan program menarik seperti konsert jazz, persembahan kebudayaan, pameran seni visual, bengkel seni, tayangan filem pendek, perarakan, bazar, teater, dapur bergerak dan persidangan yang melibatkan artis serta penceramah tempatan dan antarabangsa,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Pada masa sama, Eric berkata, penganjuran acara-acara menarik tersebut akan berlangsung di sekitar Pulau Pangkor iaitu di Sungai Pinang Kecil, Sungai Pinang Besar dan Pasir Bogak.
Sementara itu, Pengarah Unit Pengurusan Bebas Cukai Pangkor, Nadiah Mohd. Saruan berkata, PIF2023 dijangka membantu Majlis Perbandaran Manjung (MPM) mencapai sasaran kedatangan sejuta pelancong ke pulau peranginan tersebut pada tahun ini.
Katanya, setakat bulan lalu, kira-kira 500,000 orang pelancong telah mengunjungi Pulau Pangkor, justeru penganjuran PIF2023 adalah dialu-alukan kerana ia bakal memberi impak positif terhadap pulau popular berkenaan.
“Penganjuran festival seperti ini adalah satu platform yang baik untuk mempromosikan Pulau Pangkor kepada khalayak ramai terutamanya kepada masyarakat antarabangsa,” katanya.
Menurutnya, pulau bebas cukai itu juga bakal menjadi tumpuan tahun hadapan yang merupakan Tahun Melawat Perak, jadi segala usaha memberi kesedaran terhadap orang ramai mengenai Pulau Pangkor adalah amat digalakkan.
“Pelbagai program telah dirangka bagi orang ramai yang bakal mengunjungi Pulau Pangkor pada tahun hadapan selaras dengan Tahun Melawat Perak. Setiap bulan akan diserikan dengan aktiviti khusus yang dirangka oleh MPM untuk semua pengunjung,” katanya. – KOSMO! ONLINE