SEPANG – Festival Makanan Pantai Timur yang bakal berlangsung selama tiga hari bermula 29 September hingga 1 Oktober ini bakal menghimpunkan lebih 100 gerai makanan.
Lebih menarik, festival makanan yang julung kali berlatarbelakangkan tiga negeri itu akan diadakan di lokasi strategik iaitu Anjung Floria Persint 4, di Putrajaya.
Penganjur festival, Noor Shuhada Zakaria berkata, dia teruja dengan penganjuran festival itu di mana ia membantu memartabatkan menu, makanan dan juadah tradisional dari Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Menurutnya, setakat ini, 60 vendor makanan sudah bersetuju mengambil bahagian dalam festival itu dan mereka dikenakan hanya RM1,500 sepanjang tiga hari festival.
“Festival bermula 10 pagi hingga 12 malam dan masuk adalah percuma. Selain itu, pengunjung juga berpeluang menyertai acara cabutan bertuah yang menyediakan hadiah keseluruhan bernilai RM25,000,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar hari ini.- KOSMO! ONLINE