SERAMAI 15 orang mahasiswa dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menjayakan Program Pembangunan Komuniti Madani.
Program berkenaan dijayakan bersama masyarakat Pulau Kulapuan, Semporna, Sabah baru baru ini.
Menariknya, program tersebut melibatkan kajian lapangan untuk membangunkan taraf sosial penduduk kampung di pulau berkenaan.
Antara aktiviti yang diadakan termasuk tazkirah dan kuliah, forum motivasi pendidikan, aktiviti gotong-royong, sukaneka, pemeriksaan kesihatan dan rawatan gigi percuma.
Menurut pengarah program, Nur Aimi Farhana Nasrudin, secara umumnya, program tersebut bertujuan menyumbang kepakaran membangunkan masyarakat.
Ujarnya, program itu juga diharap mampu meningkatkan pelbagai kemahiran insaniah dalam kalangan mahasiswa.
Pada masa sama, program tersebut menjadi medan para pelajar berbakti kepada masyarakat terpinggir menerusi pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
“Program ini turut memberi pendedahan kepada mahasiswa membina kemahiran insaniah, sifat keprihatinan, kepimpinan dan pengurusan dalam suasana masyarakat yang berbilang kaum serta etnik,” katanya.
Sementara itu, salah seorang peserta, Nur Tasyamin Khalish, 23, menzahirkan rasa teruja kerana dapat menyertai program kemasyarakatan tersebut.
Dia yang merupakan mahasiswa tahun ketiga jurusan komunikasi berkata, program murni tersebut memberi pengalaman baharu kepadanya.
Ujarnya, dia dapat berkongsi ilmu dan mendalami budaya masyarakat di Pulau Kulapuan.
“Program ini dapat membuka mata mahasiswa bahawa penglibatan dalam aktiviti sukarelawanan untuk berbakti kepada masyarakat adalah amat digalakkan.
“Pada masa sama, ia memberi kesedaran kepada kami agar sentiasa cakna dengan kesusahan masyarakat yang kurang bernasib baik di luar sana,” katanya.
Sementara itu, Nur Tasyamin berharap, masyarakat di Pulau Kulapuan mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berwajib.
Jelasnya, usaha perlu dilakukan bagi menaik taraf kehidupan, sosioekonomi serta pendidikan mereka bagi menjamin masa depan generasi akan datang.
Program anjuran FKP USIM dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Semporna Prihatin itu turut disertai lima orang pensyarah pengiring dan mendapat tajaan daripada pelbagai pihak.
Antara pihak yang menaja adalah Tabung Haji, Unit Agama Tenaga Nasional Berhad, Yayasan Taqwa, Masjid Bandar Enstek dan Surau Al-Firdaus dan Nilai Impian (SAFNI).