PETALING JAYA – Gara-gara ketagih minum air berkarbonat yang mengandungi kandungan gula tinggi, seorang wanita terpaksa hidup dalam derita selepas kaki kirinya dipotong.
Dalam satu hantaran di TikTok, wanita yang dikenali sebagai Asmariham itu berkata, perkara tersebut disebabkan oleh penyakit kencing manis yang telah didiagnos seawal usia 26 tahun.
“Memang sejak saya muda lagi memang saya suka minum air berkarbonat, pantang saja kalau nampak mesti saya akan minum.
“Sampai lah pada satu hari, saya baru balik dari beraya dan tak boleh berjalan sebab mata kabur. Bila buat pemeriksaan di hospital, saya disahkan menghidap kencing manis,” kongsinya.
Tambah wanita itu, kaki kirinya dipotong pada tahun 2021 ketika berusia 45 tahun selepas kesihatannya semakin merosot selain kadar kencing manis yang tinggi.
“Selepas potong kaki dua tahun lalu, penglihatan macam okay sikit sebab saya dah mula jaga kesihatan saya,” ujarnya.
Perkongsian tersebut dilihat berjaya membuka mata pengguna media sosial akan kepentingan menjaga pemakanan selain memberi kesedaran untuk terus berjaga-jaga sejak usia muda.
“Jadikan ilmu untuk kita semua. Kita kena dengar apa yang dinasihati, untuk anak-anak muda kurangkan makan makanan yang manis dan banyakkan bersenam,” pesan Zarina.
“Insaf betul saya dengar. Semoga kita semua diberikan kesihatan yang baik-baik,” kata seorang pengguna.
“Jika mampu, elakkan susu pekat manis dan ganti dengan susu tepung. Juga kurangkan gula. Jika tidak mampu, minum teh o atau kopi kosong saja,” komen pengguna lain. – KOSMO! ONLINE