Ketika sedang enak menghirup sup daging di sebuah kedai tomyam saya terdengar sebuah keluarga rancak bercerita dalam loghat Sabah mengenai pengalaman mereka di Tawau baru-baru ini.
Saya kira dia seorang yang mudah terhibur kerana sambil bercerita, dia sering berseloroh hingga orang sekeliling pun turut tersengih.
“Bukan Agong yang beri aku duit tetapi aku yang beri. Ada yang beri RM5, ada beri keropok, ada yang mengajak swafoto.
“Ini semua bukan ada bayaran dan aku berdiri di sepanjang jalan dengan kerelaan sendiri kerana ini pertama kali Agong berkenan mencemar duli melakukan Kembara Kenali Borneo hingga membuatkan aku teruja.”
Itu antara perbualan yang dapat saya dengari daripada keluarga berkenaan. Oleh kerana ingin mengetahui lebih lanjut, saya mendekati mereka dan bertanyakan perihal ketika kembara bersejarah Seri Paduka.
Rupanya mereka baru tiba di Jenderam Hilir, Dengkil dan singgah sebentar di rumah salah seorang ahli keluarga sebelum meneruskan perjalanan ke Johor Bahru dan Singapura dengan menaiki bas.
Keluarga berkenaan singgah di situ selepas melawat anak mereka yang berjaya melanjutkan pelajaran di Maktab Tentera Diraja (MTD) di Sungai Besi bersama beberapa lagi remaja kampung yang terpilih di atas kecemerlangan akademik.
“Kami bangga apabila anak terpilih ke MTD dan sebab itu sanggup bersusah payah datang ke Semenanjung,” kata ketua keluarga berkenaan.
Ya, memang benar jelajah Borneo oleh Al-Sultan Abdullah bersama Raja Permaisuri serta Paduka Anakanda meninggalkan 1,001 kenangan manis buat rakyat Sabah.
Video-video di TikTok berkaitan kembara itu menjadi FYP dan pelbagai peristiwa lucu dirakamkan sepanjang minggu penuh bermakna tersebut.
Seharusnya apa yang dilakukan oleh pihak istana menjadi ikutan para pemimpin untuk memenangi hati rakyat yang telah mengundi mereka ketika pilihan raya.
Selami dan hayati sendiri rahsia Seri Paduka yang penuh dengan karisma sehingga mendapat sambutan yang amat luar biasa rakyat Borneo.
Saya pasti penduduk di sana sangat terharu dengan kembara berkenaan dan kesempatan itu diambil untuk mengadu pelbagai masalah yang sudah membelenggu kehidupan sejak sekian lama.
Apa yang pasti, keberangkatan Seri Paduka ke Borneo bukanlah sekadar melihat keadaan sekeliling tetapi ia lebih kepada hubungan kasih sayang antara ketua negara dengan rakyatnya.
Melihatkan kepada reaksi keluarga berkenaan, saya pasti rakyat di segenap pelosok Borneo sudah pasti merindui momen-momen terindah bersama Seri Paduka.
Kerana istilah ‘raja dan rakyat berpisah tiada’ itu benar-benar dipraktikkan dan ia bukan sekadar titah di bibir semata-mata. Terima kasih Tuanku lawat Borneo!