KUALA LUMPUR – Selepas enam bulan membawa haluan sendiri, pelakon sensasi Zarina Anjoulie mengakui kembali bergelar tunangan kepada ahli perniagaan, Datuk Seri Khazrul Elzy.
Kata selebriti berusia 36 tahun itu, keputusan berkenaan dibuat selepas mendapat restu keluarg kedua-dua pihak, terutama selepas menerima kunjungan keluarga ahli perniagaan lelaki terbabit membawa cincin menyambung semula ikatan yang terputus sekitar Februari lalu.
Kata ibu kepada seorang cahaya mata itu, biarpun telah berpisah namun kerinduan dan perasaan saling memerlukan antara satu sama menjadi faktor utama membuatkan mereka kembali bersama.
“Kami rapat semula sekitar Julai dan mengambil keputusan bertunang semula pada bulan lalu selepas sedar masing-masing juga rindu dan perlukan satu sama lain.
“Tak rasa ke kami ini sama-sama gila? Sebab itu boleh bersama. Dua-dua sayang. Lagipun anak saya rapat dengan dia, begitu sebaliknya. Saya pun malas nak cari lelaki lain,” katanya kepada Kosmo! Online.
Ditemui usai majlis pelancaran dan pengumuman Fasha Sandha sebagai duta jamu Beunita baru-baru ini, pelakon yang mesra disapa Anju itu hadir bersama anak tunangnya, Syazreen Khazrul.
Menurut pelakon Hantu Kuat Ketawa itu, pertelingkahan yang berlaku sebelum ini menjadi pengajaran bermakna buat mereka untuk menjaga ikatan kali ini tidak terlerai sekali lagi.
“Kita pun ada silap masing-masing. Perkara pertama yang harus dilakukan adalah perbetulkan kesilapan diri, muhasabah dahulu,” ulasnya.
Ditanya mengenai rancangan perkahwinan, Anju enggan tergesa-gesa ke arah itu, sebaliknya mengikuti saja jalan ditentukan untuk mereka oleh Tuhan.
“Kali ini kami sudah belajar dari pengalaman lalu. Tapi tak mahu lama sangat (kahwin). Niat memang ada, tapi jodoh di tangan Allah. Hubungan kali ini menjadi atau tidak, saya sendiri tak tahu.
“Dahulu mungkin macam terlampau terburu-buru, tiga bulan kenal terus nak cepat kahwin. Sekarang saya dengan Datuk tak nak menaruh apa-apa harapan.
“Nanti kalau menaruh harapan sangat kami gaduh pula. Kalau jadi (nikah), alhamdulillah. Tak jadi pun tak mengapa, kita sudah berjanji tak mahu bergaduh lagi,” tambahnya.
Penyatuan semula hubungan Zarina dan Khazrul kembali diperkatakan selepas kedua-duanya mula membuat perkongsian gambatr dan video dalam media sosial. Zarina bahkan secara terbuka mempamerkan aksi manja ketika pertemuan makan tengah hari bersama Khazrul ditemani anak lelakinya, Awangki Gabriel Martin Ezra.
Anju dan Khazrul, 45, yang melangsungkan pertunangan pada 26 Januari putus sebulan kemudian. Tidak hanya penuh drama, ketegangan hubungan kedua-duanya menjadi sorotan netizen apabila saling mengutuk antara satu sama lain dalam media sosial. -KOSMO ONLINE