TENOM – Seorang remaja lelaki maut terperosok di bawah kereta selepas motosikal ditunggang terlibat kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Kilometer 4, Jalan Tenom-Keningau kelmarin.
Dalam kejadian pukul 6.45 petang itu, mangsa berusia 19 tahun yang merupakan warga Filipina disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Hasan Majid berkata, siasatan awal mendapati nahas berlaku apabila kereta jenis Hyundai Atos dari arah Tenom memasuki simpang Taman Sri Naluyan sebelum dilanggar sebuah motosikal yang menuju ke arah Tenom.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal tercampak atas jalan raya dan dipercayai tidak sedarkan diri. Sebuah lagi kereta Perodua Myvi dari arah Keningau ke Pekan Tenom tidak sempat membrek dan mengelak lalu terlanggar penunggang motosikal di laluan kenderaannya.
“Penunggang motosikal yang tersepit di bawah kereta terseret sejauh 50 meter,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pasukan bomba turut terlibat dalam operasi bagi mengeluarkan penunggang motosikal yang parah di kepala dan badan. Mangsa maut manakala dua pemandu kereta tidak cedera.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE