KUALA PILAH – Seorang penganggur terpaksa meringkuk selama setahun dalam penjara selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas kesalahan menyembunyikan wang RM50,000 hasil penipuan dalam akaun banknya Julai lalu.
Tertuduh, Azman Md Noh, 22, yang berasal dari Rompin, Jempol membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Saiful Sayoti.
Azman didakwa menolong menyembunyikan harta hasil penipuan iaitu wang RM50,000 ke dalam akaun banknya pada pukul 3.40 petang, 17 Julai lalu di sebuah bank di Gemas, Tampin.
Oleh itu, tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, pada 18 Mac lalu, mangsa iaitu lelaki berusia dalam lingkungan 50-an dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp selepas tertarik dengan iklan pelaburan secara dalam talian.
Mangsa kemudian berurusan dengan individu tidak dikenali melalui WhatsApp dan bersetuju untuk membuat pelaburan bagi mendapatkan keuntungan tinggi dalam masa singkat.
Mangsa memasukkan wang modal pelaburan sebanyak RM50,000 ke dalam akaun syarikat yang didaftarkan atas nama tertuduh sebelum menyedari menjadi mangsa penipuan. – KOSMO! ONLINE