fbpx

Pemilik perniagaan milikan tunggal paling ‘culas’ bayar cukai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SEBERANG PERAI – Jenis perniagaan yang dijalankan secara persendirian atau milikan tunggal dikesan antara syarikat atau organisasi yang paling kerap mengelak atau ‘culas’ untuk membayar cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), ketika ini.

Pengarah Negeri LHDN Pulau Pinang, Norfaidah Daud berkata, keadaan ini berbeza jika dibandingkan dengan jenis perniagaan lain terutamanya yang melibatkan syarikat-syarikat yang lebih besar.

Menurutnya, hal ini demikian kerana, syarikat-syarikat berkenaan lebih tersusun dari segi struktur organisasi mereka termasuk memiliki khidmat untuk membuat pembayaran cukai secara lebih sistematik selain setiausaha syarikat dan akauntan yang ditugaskan untuk tujuan itu.

“Tapi, kebanyakan perniagaan jenis ‘sole-props’ (milikan tunggal) ini tidak ada itu semua. Ini menyebabkan ‘compliance rate’ (kadar pematuhan) mereka ada berbeza sedikit berbanding syarikat lain.

“Justeru, kita berusaha sebaik mungkin untuk mempertingkatkan ‘compliance rate’ itu, ketika ini,” katanya kepada pemberita pada sesi pelepasan atau ‘flag-off’ untuk program Lawatan Konsultasi Hasil (LKH) LHDN Pulau Pinang di Bandar Perda di sini, hari ini.

Berlangsung selama empat hari bermula hari ini, program LKH itu melibatkan lawatan ke 215 premis berkaitan secara keseluruhannya di kelima-lima daerah di negeri ini.

Antara objektif pelaksanaan LKH pula termasuk mewujudkan rasa keberadaan ‘Team HASiL’ dalam kalangan pemain industri, memahami aktiviti perniagaan dan cabaran yang dihadapi serta memberikan khidmat nasihat percukaian yang relevan kepada pembayar cukai.

Pada masa yang sama, lawatan itu diadakan bertujuan melengkapkan proses tindakan undang-undang selain mempromosikan Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) 2.0.

Sementara itu, beliau memberitahu, sambutan yang diterima terhadap PKPS 2.0 bagi negeri Pulau Pinang ketika ini agak baik walaupun sedikit perlahan pada peringkat permulaan.

“Kebanyakan mereka (para pembayar cukai) lebih suka untuk mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ buat masa ini,” ujar beliau.

Dalam perkembangan lain katanya, Pulau Pinang merekodkan nilai kutipan cukai keseluruhan sebanyak RM6,788,877,485.15 yang melibatkan seramai 958,743 pembayar cukai sepanjang tahun lepas.

Katanya, jumlah itu juga telah menyumbang sebanyak 3.87 peratus kutipan cukai negara secara keseluruhannya untuk tahun tersebut.

“Untuk tahun ini pula, kami menyasarkan kutipan cukai lebih daripada RM7 bilion,” katanya yang memaklumkan, Pulau Pinang merupakan negeri yang mencatatkan kutipan cukai kedua tertinggi negara tahun lalu selepas Sarawak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI