IPOH – Peniaga makanan mempertimbangkan untuk menaikkan harga nasi putih sepinggan atau mengurangkan kuantiti nasi dalam masa terdekat sekiranya masalah bekalan beras tempatan terus berlanjutan.
Tinjauan Kosmo! di sekitar bandar raya Ipoh dan kawasan sekitarnya mendapati, rata-rata peniaga masih menjual nasi putih antara RM1 hingga RM2 sepinggan.
Menurut seorang pembantu restoran dikenali sebagai Mohd. Murshid, 36, kedai makannya masih mengekalkan harga jualan nasi putih pada kadar RM1 sepinggan, namun tidak menolak kemungkinan menaikkan caj dikenakan bagi sepinggan makanan ruji tersebut.
“Buat masa ini kami masih bersabar dengan situasi semasa dan berharap kerajaan dapat mengatasi masalah bekalan beras tempatan ini.
“Bagaimanapun, jika keadaan ini berterusan, tidak mustahil harga nasi putih dinaikkan dari RM1 kepada RM1.20 atau RM1.50 sepinggan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Baru-baru ini harga beras tempatan didakwa kekurangan stok sehingga menyebabkan harga beras import naik melambung.
Sementara itu, seorang peniaga, Mohd. Ariff Ghazali, 44, berkata, mereka berkemungkinan akan mengurangkan kuantiti nasi putih sepinggan jika masalah tersebut masih berterusan.
Katanya, langkah itu terpaksa diambil kerana dia tidak mahu menaikkan harga jualan nasi putih dan membebankan para pelanggannya.
“Jadi, saya berpandangan biarlah kuantiti nasi putih sepinggan dikurangkan sedikit daripada biasa. Saya percaya pelanggan memahami apa yang sedang kami lalui ketika ini,” katanya.
Katanya, sekiranya pelanggan mahukan kuantiti nasi seperti biasa atau lebih daripada itu, mereka haruslah membayar lebih kerana akan dianggap sebagai nasi tambah.
Seorang pelanggan, Mohd. Hamdan Khairil Anwar, 29, berkata, dia memahami tindakan pengusaha restoran yang mahu menaikkan harga makanan atau mengurangkan kuantiti nasi putih sepinggan.
“Saya cuma mengharapkan agar keadaan ini tidak berlanjutan terlalu lama. Saya sebagai ahli dalam masyarakat pun berhadapan masalah sama juga iaitu sukar untuk membeli beras tempatan terutamanya di kedai-kedai runcit,” katanya.