SAUDARA PENGARANG,
Bukan sahaja Ahli Parlimen tetapi seluruh rakyat Malaysia juga berhak diberikan penjelasan dan alasan tuntas berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada kesemua 47 pertuduhan jenayah.
Penjelasan itu penting bagi mengelakkan sebarang syak wasangka, kecurigaan dan ketidakpuasan berlaku terhadap Jabatan Peguam Negara serta sistem keadilan dan undang- undang dalam negara kita secara keseluruhannya.
Seperti diketahui, pihak Jabatan Peguam Negara khususnya Peguam Negara sendiri berhak menjalankan sesuatu prosiding atau menghentikannya mengikut peruntukan kuasa yang telah diberikan kepada mereka seperti termaktub dibawah Kanun Prosedur Jenayah dan Perlembagaan Persekutuan.
Beberapa kes mahkamah boleh dirujuk antaranya tahun 1991, kes Karpal Singh & Yang Lain v Pendakwa Raya [1991] 1 CLJ Rep 183, pihak Mahkamah Agung telah dirujuk bagi memutuskan sama ada mahkamah mempunyai kuasa am bagi mengawal prosesnya supaya tidak disalahgunakan untuk melindung orang dituduh daripada penganiayaan atau mudarat dengan membatalkan prosiding yang sia-sia.
Dalam kes ini, tertuduh didakwa di bawah Akta Polis 1967 kerana mengambil bahagian dalam perjumpaan di tempat awam tanpa kebenaran.
Ketika menjawab persoalan undang-undang, mahkamah menekankan bahawa budi bicara mutlak Peguam Negara di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan, sama ada untuk memulakan, meneruskan dakwaan atau sebaliknya, selain prosiding di dalam mahkamah syariah, adalah budi bicara yang tidak boleh dicabar, digantikan.
Sukar untuk mana-mana pihak mempertikaikan keputusan yang telah dibuat Jabatan Peguam Negara ini kerana keputusan yang dibuat mereka dianggap sebagai muktamad.
Namun, perlu ditegaskan sebagai seorang penjawat awam, Peguam Negara dan Pendakwa Raya perlu menjalankan tugasnya dengan penuh integriti dan profesional dengan memberi pertimbangan kepada keselamatan negara, kepentingan dan keselamatan awam serta perhatian media.
Oleh yang demikian, adalah penting proses penerangan diberikan terutamanya kes berprofil tinggi dan yang mendapat perhatian umum dalam negara kita.
Bagi memantapkan lagi proses keadilan dan undang – undang dalam negara kita, adalah disarankan proses penerangan ini dijadikan sebagai salah satu polisi dan amalan baru untuk pihak Jabatan Peguam Negara dan Peguam Negara pada masa akan datang.
Dr. Muzaffar Syah Mallow,
Profesor Madya,
Fakulti Syariah &
Undang-Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)