SAUDARA PENGARANG,
Salah satu tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah mengurus dan menjaga agar aset-aset di bawah pentadbiran mereka agar berada di dalam keadaan baik, termasuklah jalan.
Di Bandar Raya Shah Alam, pihak PBT adalah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Berdasarkan kepada pengamatan penulis selama lebih dari lima tahun, banyak juga cat yang menandakan garisan jalan sudah pun pudar.
Salah satu jalan di mana cat garisan jalan yang sudah lama pudar ialah Jalan Tebing 8/8 di Seksyen 8.
Panjangnya laluan ini adalah lebih kurang 0.7 kilometer. Di jalan ini juga ada terdapat lima buah bonggol jalan yang mana warna kuning sudah pun pudar.
Pada waktu malam, ada kereta yang ‘melompat’ setelah melalui bonggol jalan ini, kerana para pemandu tidak nampak adanya bonggol ini.
Adalah diharapkan dengan tersiarnya cerita ini di dalam ruangan Forum, pihak MBSA akan mengecat semula garisan jalan dan juga bonggol jalan, dengan cat yang baharu, dengan kadar segera.
HJ. KAMARUDDIN HASSAN,
Seksyen 8, Shah Alam