TUMPAT – Selepas 48 jam bertarung nyawa, seorang juruteknik yang disengat ratusan tebuan ketika membaik pulih pencawang elektrik di Kampung Morak di sini Jumaat lalu meninggal dunia petang semalam.
Mohd. Hasmawi Mohd. Saupi, 38, menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira pukul 5.30 petang di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.
Ibunya, Aminah Awang, 73, berkata, anak kelima daripada enam adik-beradik itu meninggal dunia selepas mengalami darah beku seluruh anggota badan akibat disengat tebuan.
Menurutnya, kejadian itu menyebabkan arwah anaknya ditidurkan sebelum meninggal dunia di hadapan ahli keluarga di HRPZ II semalam.
Jenazah Mohd. Hasmawi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Nibong, Padang Kala, Peringat, Kota Bharu kira-kira pukul 6.30 pagi tadi.
“Kejadian itu amat mengejutkan dan saya sendiri tidak menyangka sengatan ratusan ekor tebuan boleh meragut nyawa Mohd. Hasmawi,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Tanah Perkuburan Islam Nibong, Peringat hari ini.
Aminah memberitahu, kejadian tersebut merupakan insiden pertama yang berlaku ke atas anaknya sepanjang 10 tahun lelaki itu bertugas sebagai juruteknik.
Tambahnya, Mohd. Hasmawi merupakan pekerja yang berdedikasi dan tidak pernah menolak sebarang tugasan yang diberikan oleh syarikat.
“Arwah meninggalkan seorang balu yang bekerja sebagai guru dan empat anak berusia lima hingga 13 tahun,” katanya.
Kosmo! Online semalam melaporkan, seorang juruteknik kritikal selepas disengat ratusan tebuan ketika membaik pulih pencawang elektrik di Kampung Morak, Jumaat lalu.
Ketika kejadian, mangsa yang bekerja bersama seorang lagi kakitangan menggunakan kren pengangkat (skylift) untuk membaik pulih pencawang itu pada pukul 6.30 petang.
Kejadian berlaku ketika Mohd. Hasmawi berada di dalam bakul kren pada ketinggian tiga meter sebelum diserang tebuan tersebut. – KOSMO! ONLINE