PUTRAJAYA – Tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita kenderaan berat membawa lebih muatan dibuat mengikut prosedur akta sedia ada.
JPJ dalam satu kenyataan berkata, sitaan terhadap kenderaan itu dilakukan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
Katanya, kenderaan berat membawa lebih muatan atau berbahaya berisiko menyebabkan kemalangan maut akibat kegagalan fungsi brek dan teknikal di samping mengakibatkan kerosakan kepada jalan raya yang sering menjadi punca nahas kepada kenderaan lain.
“Tindakan diambil di bawah Seksyen 57 dan Seksyen 80,” kata kenyataan itu di sini, hari ini.
Sehubungan itu, tindakan sitaan itu bukan dibuat ke atas kenderaan yang membawa muatan melebihi 10 hingga 20 peratus, tetapi lebih 70 hingga 140 peratus.
“Kenderaan berat yang dilesenkan untuk membawa muatan tidak dibenarkan melebihi had berat ikut kapasiti ditetapkan. Penguatkuasaan JPJ mengesan kenderaan berat tersebut membawa muatan berat antara 70 peratus dan 140 peratus,” ujarnya.
Jelasnya, keputusan kes bagi tindakan ini adalah tertakluk kepada bidang kuasa pihak Mahkamah.
“Justeru, pihak syarikat pengangkutan dinasihatkan untuk memohon dan menyelesaikan perkara itu mengikut prosedur yang ditetapkan di bawah Seksyen 57 dan Seksyen 80 dengan pihak mahkamah,” ujarnya.
Tambahnya, JPJ sentiasa memikul amanah dalam menguatkuasakan undang-undang dan peraturan jalan raya serta tidak berkompromi dengan mana-mana pihak dalam penguatkuasaan undang-undang jalan raya bagi mengurangkan risiko kemalangan dan kehilangan nyawa pengguna jalan raya yang lain.
JPJ turut menyeru agar semua pengguna jalan raya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya serta bekerjasama ke arah mengurangkan bilangan kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya.
Semalam, media melaporkan, sekumpulan pemandu kenderaan berat buntu apabila lori-lori mereka masih belum dilepaskan sejak sembilan bulan lalu hingga menyebabkan mereka terus hilang punca pendapatan.
Malah, rata-rata pemandu mendakwa, mereka telah melangsaikan kompaun bagi kesalahan membawa lebih muatan.
Kumpulan terbabit turut mendakwa, ada pemilik lori sudah disenarai hitam oleh pihak bank kerana gagal membayar ansuran hingga mencecah RM6,000 sebulan. – KOSMO! ONLINE