PUTRAJAYA – Isu denda Dasar Penamat Generasi (GEG) antara topik dijangka mendapat tentangan hebat Ahli Parlimen sebaik pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dibentangkan di Parlimen, Oktober ini.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, pihaknya menerima banyak pandangan mengenai isu denda berkenaan selain ada yang berpandangan anak-anak GEG tidak perlu dikompaun.
Beliau berkata, ada juga berpendapat, GEG hanya perlu dinasihati serta dikenakan perintah khidmat masyarakat sahaja.
“Kami akui wujud pelbagai pandangan mengenai perkara itu dan ia akan diselesaikan serta dimuktamadkan segera.
“Isu itu (denda) juga akan dibincangkan bersama Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan petang ini dan dimuktamadkan,” katanya ketika ditemui hari ini.
Sebelum ini, KKM mencadangkan kadar denda sebanyak RM500 bagi kesalahan merokok berbanding RM5,000 yang dicadangkan pada peringkat awal.
Dalam perkembangan sama, Dr. Zaliha berkata, KKM akan mengadakan perbincangan dengan JKPK petang ini bagi memuktamadkan pindaan RUU berkenaan.
“Kita akan jumpa JKPK petang ini untuk memuktamadkan dapatan yang mereka perolehi. Kita juga ada pandangan kita dan petang ini kita akan cari jalan penyelesaian.
“Adakah pindaan itu kita akan terima secara tuntas atau mungkin ada jalan tengah, kita akan semuanya bincang petang ini,” katanya.
Ditanya mengenai cadangan tambahan cukai 65 peratus terhadap produk tembakau, Dr. Zaliha berkata, perkara itu juga akan dimuktamadkan petang ini. – KOSMO! ONLINE