fbpx

Ezzy anak si penjual burger diterima belajar di NY

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EZZY mengibarkan Jalur Gemilang di bumi New York, AS.

DALAM kehidupan, perjalanan, nasib dan takdir seseorang pasti tidak sama dengan yang lain.

Begitu juga dengan impian seorang gadis berusia 24 tahun yang merupakan anak kepada penjual burger jalanan dikenali sebagai Ezzy.

Menurut Ezzy atau nama sebenarnya Azida Ahmad Azmi, pada mulanya, dia kurang yakin permohonan untuk melanjutkan pengajian di Columbia University, New York, Amerika Syarikat (AS) akan diterima.

Akuinya, perasaan tidak yakin itu semakin menebal kerana ramai yang memandang rendah dirinya cuma seorang graduan tempatan.

Siapa sangka, lulusan ijazah dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor itu berjaya mendapat tempat untuk menyambung pengajian peringkat sarjana dalam jurusan Perundingan dan Penyelesaian Konflik.

“Betul orang cakap, rezeki tak pernah salah alamat. Selama enam bulan saya berkorban dan siapkan segala keperluan untuk lengkapkan permohonan.

“Saya ‘tebalkan muka’ untuk buat panggilan video dengan 58 alumni universiti di AS untuk dapatkan tip serta nasihat daripada mereka.

“Walaupun pelbagai kesukaran saya hadapi masa buat permohonan, namun saya sangat terkejut apabila berjaya diterima masuk,” katanya kepada iGen.

Menyorot kembali perjalanan hidupnya, dia tidak pernah malu mengikut dan menemani ibunya menjual burger di pasar borong sejak 20 tahun lalu.

Ujarnya, dia sudah terbiasa menjalani hidup susah sejak kecil sehingga wujudnya rasa untuk menyambung legasi orang tuanya sebagai penjual burger.

“Keluarga saya bukan orang senang. Sejak kecil sampai sekolah menengah saya ikut ibu berniaga burger.

“Jadi, saya terbiasa tengok dan membesar dalam persekitaran itu.

“Semestinya, saya sudah pupuk ‘mindset’ (pemikiran) yang saya akan jual burger sama macam keluarga pada suatu hari nanti.

“Saya rasa apabila sudah tua nanti, saya akan ambil alih perniagaan untuk menyara mereka pula.

“Justeru, saya tidak pernah melihat diri saya sebagai seorang individu yang dapat berbakti kepada masyarakat atau negara.

“Saya cuma anggap diri ini tidak boleh pergi jauh,” katanya.

Meskipun pernah menyertai program pertukaran pelajar di AS sebelum ini, Ezzy begitu teruja apabila sekali lagi menjejakkan kaki di kota New York.

Ezzy menunjukkan surat tawaran kemasukan ke Columbia University.

Kali ini sebagai seorang pelajar yang menetap di negara asing bermula 25 Ogos lalu.

“Sebelum pergi belajar di negara asing, emak ayah pesan jangan tinggal solat.

“Disebabkan mereka tak boleh hantar saya di depan pintu universiti, mereka berulang kali cakap yang saya cukup membanggakan mereka.

“Apabila mengenangkan kata-kata itu, saya jadi semangat untuk meneruskan perjuangan bagi membalas jasa dan pengorbanan mereka,” katanya yang aktif berkongsi video di TikTok menerusi akaun @gniwoem.

Tambah anak tunggal yang berasal dari Selayang Baru, Selangor itu, dia merupakan generasi pertama dalam keluarga yang berjaya belajar di peringkat universiti.

“Saya nekad menyambung peringkat sarjana di Columbia University untuk banggakan ibu bapa.

“Saya juga mahu buktikan kejayaan ini hasil didikan mereka yang bersusah payah untuk saya, walaupun mereka tidak dapat habiskan pelajaran,” ujarnya.

Akuinya lagi, sebelum ini, dia sering kali menjadi bahan jenaka dan usikan rakan-rakan sekelas kerana dirinya seorang anak penjual burger.

“Ibu dan ayah menjual burger bermula dari pukul 11 malam hingga 7 pagi.

“Apabila pulang dari tempat kerja, ibu terus ambil saya di rumah dan hantar ke sekolah menaiki kereta Perodua Kancil kami.

“Setiap kali peluk ibu hendak pergi sekolah, bau burger akan melekat pada baju saya. Apabila berada di sekolah, ada beberapa rakan-rakan mengusik dengan mengatakan saya bawa ‘bau busuk’ ke sekolah.

“Itulah momen paling sukar untuk saya lupakan sehingga sekarang.

“Saya sedih sangat mengenangkan ibu sudah bersusah payah mencari rezeki ketika orang lain sedap tidur pada waktu malam,” tuturnya lagi.

Berkongsi mengenai pengajian sarjananya, pada tahun pertama, dia menerima Merit Fellowship Award kerana permohonannya berjaya mendapat perhatian pihak universiti.

Ezzy juga berhasrat untuk mengikuti pengajian sarjana kedua dalam bidang Antropologi Sosial sebelum merancang menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD).

Pada masa sama, dia bercadang untuk mencari kerja sama ada secara fizikal atau jarak jauh (remote alternate work) sebagai ahli penyelidik dalam bidang bersesuaian dengan program diambil.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI