WOLVERHAMPTON – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp memuji kegigihan barisan pemainnya ketika bangkit mencatat kemenangan 3-1 ke atas Wolverhampton Wanderers pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Molineux kelmarin.
Pada perlawanan itu, pasukan tuan rumah mendahului perlawanan seawal minit ketujuh menerusi Hwang Hee-chan sebelum The Reds bangkit di separuh masa kedua hasil jaringan Cody Gapo, Andy Robertson dan gol sendiri Hugo Bueno.
Klopp percaya keputusannya memasukkan pemain sayap, Luis Diaz di separuh masa kedua berjaya mengubah corak permainan Liverpool selepas mereka menampilkan aksi cukup hambar dalam tempoh 45 minit pertama.
“Saya lega kerana pasukan tidak bermain seperti biasa di separuh masa pertama, jadi ia membuka mata saya bahawa kami tidak boleh terus bermain seperti itu. Saya ambil keputusan untuk ubah taktikal di separuh masa kedua.
“Pertukaran itu nyata memberi kelebihan kepada kami apabila pergerakan pasukan lebih dinamik. Saya dapat lihat pergerakan kami ketika menyerang lebih pantas dan dapat mengawal permainan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga percaya Liverpool memiliki skuad yang serba lengkap dan mereka tidak ada sebarang masalah walaupun masih tidak dapat menggunakan khidmat Thiago Alcantara dan Trent Alexander-Arnold akibat kecederaan.
“Kami ada satu skuad yang cukup bagus, namun ia tidak menjamin anda sentiasa bermain dengan baik dan ia terbukti di separuh masa pertama hari ini (kelmarin). Bagaimanapun, kami berjaya bangkit selepas melakukan pertukaran,” ujar Klopp. – AGENSI