LONDON – Manchester City mengekalkan rekod bersih dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas West Ham United di Stadium London malam kelmarin.
Kemenangan itu menyaksikan The Citizens terus menerajui liga dengan 15 mata selepas menang kesemua lima perlawanan awal, dua mata dibezakan dengan pencabar terdekat, Tottenham Hotspur dan Liverpool.
Pengurus City, Pep Guardiola menghamburkan pujian terhadap barisan pemainnya yang bangkit dengan tiga gol menerusi jaringan Jeremy Doku, Bernardo Silva dan Erling Haaland selepas ketinggalan 0-1 di separuh masa pertama hasil jaringan James Ward-Prowse.
“Kami mencipta banyak peluang menjaringkan gol walaupun berdepan sebuah pasukan yang mengamalkan taktikal bertahan. Justeru, saya sangat gembira dengan aksi yang mereka tampilkan hari ini (kelmarin).
“Satu kemenangan yang sangat berharga untuk kami, terutamanya ketika pasukan berdepan masalah kecederaan. Semua pemain sudah berikan segala-galanya bagi memastikan tiga mata menjadi milik City,” katanya.
Bekas jurulatih Barcelona itu juga percaya sikap sabar yang ditunjukkan semua pemain membuahkan hasil kerana beliau menganggap tidak mudah untuk memecahkan benteng pertahanan pasukan seperti West Ham.
“Ketika waktu rehat, saya beritahu pemain-pemain supaya sabar dan tunggu peluang tiba. Walaupun terpaksa menunggu agak lama, namun ia berbaloi dan saya gembira dengan aksi keseluruhan pasukan,” jelas Guardiola. – AGENSI