SUNGAI PETANI – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mengesahkan dua mangsa rentung ditemui dalam kebakaran deretan lapan rumah kedai dua tingkat di Pekan Kota Kuala Muda, dekat sini hari ini.
Menurut Pengarahnya, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Awang Hidzel Awang Bujang mayat mangsa pertama ditemui pada pukul 3.19 pagi tadi diikuti mangsa kedua pada pukul 6 pagi tadi.
Katanya, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 1 pagi tadi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu, BBP Sungai Petani dan BBP Kuala Muda, Pulau Pinang ke lokasi kebakaran.
“Operasi memadam kebakaran turut dibantu anggota bomba sukarela. Api berjaya dikawal pada pukul 3.08 pagi dengan kemusnahan hampir 80 peratus setiap rumah,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, dua mangsa ditemui dalam keadaan rentung dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Difahamkan terdapat tiga mangsa, namun seorang lagi individu yang dilaporkan hilang masih belum disahkan status kerana belum dijumpai. – KOSMO! ONLINE