KUALA LUMPUR – Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjawab segala persoalan berhubung keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, di Parlimen, esok.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu berkata, penjelasan tersebut akan dibuat Ahli Parlimen Tambun pada pukul 2.30 hingga 3.30 petang.
“Tuan punya badan pun ada di sini. Beliau menunjukkan isyarat tanda bagus itu maknanya beliau akan jawab esok,” katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, di sini hari ini.
Mengulas mengenai salah satu alasan yang dikemukakan dalam keputusan DNAA Ahmad Zahid, Azalina berkata, beliau tidak boleh menjawab perkara berkenaan bagi pihak Peguam Negara.
“Alasan yang disebut ialah keputusan yang dibuat pada 4 September lalu oleh bekas Peguam Negara (Tan Sri Idrus Harun).
“Saya tak boleh jawab justifikasi Peguam Negara sebab tiada apa-apa dalam Perlembagaan menyatakan kuasa budi bicara Peguam Negara harus melaporkan kepada Kabinet atau Perdana Menteri.
“Jadi, saya tak boleh jawab bagi pihak Peguam Negara. Budi bicara yang saya sebut tadi yang mana dia boleh mendakwa dan menarik pendakwaan. Itu hak Peguam Negara dalam Perlembagaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE