PETALING JAYA – Dua bayi yang menghidap penyakit jarang jumpa, Spinal Muscular Atrophy (SMA) Type 1, Muhammad Athif Fahri dan Wan Muhammad Naail, dilaporkan menunjukkan perkembangan yang baik.
Kedua-duanya sebelum ini seperti yang dilaporkan Kosmo!, berjaya mendapatkan suntikan ubat Zolgensma bernilai RM9.8 juta hasil kutipan dana yang dibuat oleh Founder Misi.
Founder Misi menerusi satu hantaran di Facebook memaklumkan, alat bantuan pernafasan kedua-dua bayi tersebut juga boleh dibuka untuk jangka masa yang agak lama.
“Ibu bapa Baby Naail dan Athif beritahu kata otot mereka dah berhenti merosot dan mula lalui proses menghidupkan otot setiap bahagian tubuh.
“Naail dan Athif juga dah boleh buka alat bantuan pernafasan untuk masa yang semakin lama, bererti otot jantung mereka semakin pulih dan menguat,” kongsinya.
Dalam masa sama, Founder Misi menjelaskan, dana Athif yang masih berbaki sebanyak RM1,908,281.80 akan dipindahkan kepada seorang lagi bayi yang menghidap masalah sama.
“Baki 100 peratus dipindah kepada Qaisar pula. Saya harap kita sempat bantu Qaisar sebab sepatutnya kita terus sambung haritu selepas selesai Athif.
“Tapi disebabkan serangan dan halangan pelbagai pihak, saya terpaksa urus semula semua sistem dan tukarkan semuanya kepada 100 peratus yayasan.
Sekarang ni kita ada peluang untuk bantu Qaisar. Jom semua https://misirakyat.com,” menurut hantaran tersebut. – KOSMO! ONLINE.