WASHINGTON – Saintis-saintis mendedahkan tarikh tepat sebuah asteroid yang diramalkan terhempas ke Bumi dan mempunyai kekuatan menyamai letupan 22 bom atom, lapor akhbar Daily Star semalam.
Batu angkasa dinamakan Bennu itu melintasi Bumi setiap enam tahun, namun saintis-saintis meramalkan Bumi berada di garisan selari untuk berlanggar dengan asteroid itu pada 24 September 2182.
Walaupun tarikh tersebut masih jauh, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) sudah bekerja keras untuk mengalihkan Bennu daripada laluannya dan ia kini berada di peringkat akhir misi tersebut.
Sampel dari Bennu dijangka tiba di Bumi minggu ini, dan mendarat di kawasan gurun di Utah pada 24 September ini.
Ia dilancarkan ke arah Bumi daripada kapal angkasa OSIRIS-REx dalam sebuah kapsul bersaiz peti sejuk. Kapsul itu membawa kira-kira 250 gram bahan sampel batuan yang diambil dari permukaan Bennu pada 2020.
Menurut NASA, jika terhempas ke Bumi, ia akan mencipta kawah berukuran kira-kira 9.6 kilometer dan menyebabkan kemusnahan kira-kira 965 kilometer di semua arah. – AGENSI