REMBAU – Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang cedera dirempuh ketika sekatan jalan raya di Kilometer (KM) 28, Lebuh Raya Seremban-Port Dickson di Port Dickson semalam, memaafkan penunggang motosikal tersebut.
Muhammad Nur Hakim Mohd. Razip, 29, yang berkhidmat selama tujuh tahun di JPJ berkata, dia turut mendoakan suspek supaya berubah menjadi individu lebih baik walaupun nyawanya nyaris melayang dalam kejadian tersebut.
Menurut bapa empat anak termasuk kembar lelaki berusia sembilan bulan itu, kejadian tersebut berlaku dalam sekelip mata dan dia cuba mengelak sewaktu kejadian, namun motosikal tersebut melanggar sebelah kakinya.
“Bukan saya sengaja hendak menahannya (motosikal), saya terkejut dan cuba mengelak. Badan saya terjatuh atas dia (suspek) terlebih dahulu sebelum terjatuh ke jalan raya.
“Kalau tak terjatuh atas dia, mungkin saya melambung ke jalan raya dan cedera parah. Sebelum itu, suspek berada di laluan motosikal. Dalam jarak beberapa meter, dia sudah pulas minyak.
“Saya fikir dia main-main, rupa-rupanya dia meluru ke arah saya. Saya nak elak pun tak dapat,” katanya ketika ditemui semasa lawatan Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf di Kuartes JPJ Pedas, di sini, hari ini.
Jelasnya, susulan kejadian itu, kakinya bengkak dan terdapat koyakan pada tisu belakang kepala akibat terhantuk topi keledar.
“Kejadian semalam tidak sedikit pun mematahkan semangat saya bagi menjalankan tugas dengan lebih baik lagi,” katanya.
Sementara itu, Hanif Yusabra berkata, kejadian tersebut bukan hanya melibatkan nyawa anggota JPJ, malah nyawa orang ramai.
“Kami akan terus melaksanakan penguatkuasaan dengan penuh semangat dan menjalankan tugas mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Tambahnya, pihaknya mengambil kira semua faktor termasuk menyemak prosedur operasi standard, keselamatan lokasi dan kekuatan anggota sebelum membuat SJR di mana-mana lokasi terpilih. – KOSMO! ONLINE