fbpx

Pusat hiburan ‘bekal’ pelacur di Seremban diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara suspek yang ditahan dalam serbuan ke atas premis haram yang dijadikan pusat hiburan warga asing di Taman Semarak, Nilai, semalam.

SEREMBAN – Kedegilan warga asing Myanmar sehingga menjadikan sebuah premis haram di Taman Semarak, di sini, sebagai pusat hiburan membawa padah apabila diserbu oleh polis dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Premis berkenaan juga disyaki menawarkan khidmat pelacur terdiri daripada warga asing, selain dilengkapi televisyen litar tertutup (CCTV) sebagai persediaan jika diserbu pihak berkuasa.

Bagaimanapun, operasi pusat hiburan berkenaan berjaya dihidu hasil aduan orang awam sebelum diserbu kira-kira pukul 10.30 malam tadi.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, hasil serbuan, seramai 92 warga Myanmar ditahan terdiri daripada 65 lelaki dan bakinya wanita.

“Hasil dokumentasi, seramai 39 daripada mereka didapati melanggar pelbagai kesalahan imigresen dan diserahkan kepada JIM, manakala selebihnya dibawa Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Jelas Ahmad Dzaffir, premis berkenaan dipercayai mula beroperasi sejak lapan bulan lalu dan pernah diserbu, namun masih degil menjalankan perniagaan hiburan tanpa lesen sah.

“Operasi ini hasil aduan orang awam yang memaklumkan berlakunya kegiatan pelacuran membabitkan warga asing, namun hasil pemeriksaan tidak menemui bukti yang menunjukkan kegiatan itu.

“Ketiga-tiga premis ini menjadi tumpuan warga Myanmar kerana terdapat penempatan warga asing di sekitar Taman Semarak. Hasil pemeriksaan mendapati mereka menyediakan minuman keras tanpa cukai,” ujarnya.

Menurutnya, warga asing yang diserahkan kepada JIM didapati melanggar peraturan mengikut Seksyen 39(b) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Mereka juga ditahan bagi siasatan mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1988 kerana beroperasi tanpa kebenaran selain siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI