RAWANG – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang dia tunggang terbabit dalam nahas dengan sebuah kereta di Kolam Jalan Kota Puteri, di sini, pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan pada pukul 6.54 pagi.
Katanya, seramai lima anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Arang dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati kemalangan melibatkan motosikal jenis Modenas dan kereta Suzuki Alto.
“Mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 50 tahun dari arah Batu Arang ke Kota Puteri telah tercampak ke bahu jalan selepas bertembung dengan kereta dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata, akibat daripada kemalangan, penunggang motosikal terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara itu, tambahnya, pemandu dan penumpang kereta terbabit masing masing berusia 68 dan 70 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan. – KOSMO! ONLINE