fbpx

Masalah mental luahkan, jangan pendam – Zynakal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZYNAKAL

BUKAN rahsia lagi apabila penyanyi Zynakal disahkan menghidap masalah kesihatan mental, iaitu bipolar mania pada 2019.

Sebelum itu, Zyn atau nama lengkapnya Muhammad Raziq Rosli pernah menimbulkan kekecohan apabila dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhi hukuman denda selepas menyerang dengan mencekik seorang pekerja di sebuah stesen minyak.

Melihat pada sikapnya ketika itu, Zyn dipujuk ke hospital bagi menjalani pemeriksaan mental sehinggalah dia disahkan menghidap bipolar mania dan ditahan di wad psikiatri untuk rawatan lanjut.

Hari ini, penyanyi yang kini berusia 25 tahun itu nampak lebih sihat dan positif. Sikapnya semakin ceria dengan senyuman tidak pernah lekang di bibir.

Bahkan, dia kini turut bergiat aktif mendidik masyarakat tentang apa itu masalah kesihatan mental, termasuk bipolar yang dialami.

Seiring dengan perubahan zaman, masyarakat hari ini bersikap lebih terbuka terhadap kelompok yang mengalami masalah gangguan mental. Mereka tidak lagi dilayan seperti dahulu dengan stigma yang bukan-bukan.

“Sebagai individu yang mengalami gangguan mental, saya melihat masyarakat hari ini lebih bersikap terbuka.

“Lebih-lebih lagi selepas saya keluarkan single berjudul Sakit bersama Yonnyboii. Masyarakat mula peduli terhadap golongan seperti saya dan mahu mengetahui lebih lanjut tentang masalah kesihatan mental,” ujarnya.

Sebagai artis, Zyn juga berasa bertanggungjawab menjadi suara mewakili golongan senasib dengannya.

“Masyarakat tidak tahu apa yang dialami atau dirasai golongan penghidup masalah gangguan mental. Mungkin dengan adanya saya, boleh menjadi wakil kepada mereka.

“Secara tidak langsung, masyarakat hari ini mula terbuka dan menerima golongan seperti saya ini,” jelasnya.

Bagaimanapun, kata Zyn, masih terdapat segelintir pesakit yang masih takut dan malu untuk tampil terbuka tentang masalah kesihatan mental yang mereka lalui, kerana risau tentang persepsi masyarakat.

“Nasihat saya untuk mereka, daripada memendam seorang diri, tak salah sebenarnya untuk lakukan pemeriksaan untuk mengetahui separah apa masalah yang kita alami.

“Kita perlu sayang diri kita dahulu. Ada beberapa langkah yang boleh saya kongsikan. Pertama adalah menerima kemudian memahami dan terakhir ialah belajar.

“Apabila kita tidak menerima, kita tidak akan faham (masalah). Apabila kita tidak faham, kita tidak akan belajar. Jadi jangan takut dan malu untuk ke depan,” ujarnya.

Pada masa sama, Zyn turut menyeru golongan yang mengalami masalah kesihatan mental untuk turut sama menyertai program anjuran banyak pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) berkaitan kesihatan mental.

Bukan sahaja kepada golongan pesakit mental, orang awam juga digalakkan turut serta bagi mendekatkan diri dengan kelompok sebegitu.

“Selain dapat pengisian maklumat, kita juga dapat berkumpul dengan kenalan-kenalan baharu. Di situ juga mereka (pesakit mental) boleh menjadi diri sendiri.

“Mereka boleh meluah dan berkongsi masalah yang selama ini terbuku dalam hati,” katanya.

Sempat berkongsi perkembangan terkini, Zyn teruja apabila bakal melancarkan sebuah mini album (EP) berjudul Ini Aku yang mengandungi lima buah lagu pada 22 September ini.

“Ada lima buah lagu, termasuk tiga muzik video (MV). Antara lagu yang terkandung ialah Bagaimana Aku, iaitu sebuah lagu yang saya cipta untuk arwah ibu saya. Lagu tersebut amat bermakna buat saya.

“Mini album ini juga sebagai tanda move on saya dalam hidup. Saya nak orang rasa bagaimana saya sakit. Sama-sama kita sakit, sama-sama kita sembuh,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI