fbpx

KKD kaji semula Akta Komunikasi dan Multimedia perangi jenayah siber

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Teo Nie Ching

JOHOR BAHRU – Kementerian Komunikasi Dan Digital (KKD) berhasrat untuk mengkaji semula Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dengan memperluaskan bidang kuasanya selaras perkembangan dunia siber ketika ini.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, kementerian mahu akta yang ditambah baik itu mampu untuk mengambil tindakan terhadap sebarang jenis jenayah siber melibatkan mana-mana platform media sosial.

“Akta Komunikasi dan Multimedia ini digubal pada 1998, KKD merasakan sudah sampai masanya untuk kita kaji semula bagi memastikan undang-undang yang ada mencukupi untuk mengambil  tindakan undang-undang.

“Ini merupakan usaha yang sedang dijalankan pihak kementerian.  Kita sudah tentukan hala tuju dan selepas ini akan buat keterlibatan dengan pemegang taruh,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri tayangan filem Malbatt Misi Bakara di AEON Kulai, di sini hari ini.

Nie Ching berkata, usaha itu secara tak langsung dapat meningkatkan tanggungjawab penyedia perkhidmatan media sosial berhubung salah laku siber yang berlaku di platform masing-masing.

Beliau berkata, akta itu diharap dapat dibentangkan di Parlimen pada sesi hujung tahun ini atau seawal tahun hadapan.

Dalam pada itu, Nie Ching berkata, KKD bersedia memberi kerjasama berhubung usaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang akan mengkaji undang-undang sedia ada berkaitan jenayah siber dengan memasukkan elemen penipuan melalui perisian dan peranti komputer.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain memberitahu kesalahan jenayah siber dijangka terus meningkat pada masa akan datang susulan kepesatan teknologi terutama melalui penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI