fbpx

Kedai terbakar, peniaga kedai runcit rugi lebih RM100,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suami kepada Nor Azira, Safuan Mohd. Nordin melihat keadaan kedai runcit isterinya yang hangus terbakar dalam kejadian di Kampung Teliar, Pasir Mas hari ini. Foto oleh ROHANA ISMAIL/ KOSMO!

PASIR MAS – Seorang peniaga kedai runcit mengalami kerugian lebih RM100,000 selepas premisnya musnah dalam kebakaran di Kampung Teliar, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, Nor Azira Razali, 34, mengetahui kebakaran tersebut selepas terkejut daripada tidurnya apabila menerima panggilan telefon daripada ibu saudaranya.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan pelbagai barangan jualan runcit termasuk peti simpanan aiskrim, ais, minuman, televisyen dan sistem rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) terbakar.

“Saya menutup kedai runcit dalam keadaan baik kira-kira pukul 11 malam tadi. Semasa sedang tidur di rumah di Kampung Bechah Temalang yang terletak tidak jauh dari kedai, saya menerima panggilan daripada ibu saudara.

“Dia memaklumkan bahawa premis saya terbakar. Kebakaran itu disedari bapa saudara, Zulkifli Mat Hassan, 54, yang terdengar letupan seperti mercun ketika berada di rumahnya yang terletak di depan kedai tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Nor Azira memberitahu, semasa tiba di kedai runcitnya, dia mendapati api marak membakar premis tersebut sehingga tidak dapat menyelamatkan barangan di dalam premis tersebut.

Katanya, kebakaran itu menyebabkan dia mengalami kerugian lebih RM100,000 yang merangkumi premis dan kesemua barangan di dalam kedai tersebut.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wakaf Bharu, Nazah Nafi berkata seramai 16 anggota dari BBP Wakaf Bharu, Pasir Mas dan Kota Bharu bergegas ke lokasi kebakaran selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.23 pagi.

Menurutnya, kejadian itu mengakibatkan 80 peratus premis itu terbakar dan punca kebakaran masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI