TUMPAT – Seorang juruteknik kritikal selepas disengat kira-kira ratusan tebuan ketika sedang membaik pulih pencawang elektrik di Kampung Morak di sini kelmarin.
Mangsa, Mohd. Hasmawi Mohd. Saupi, 38, kini sedang bertarung nyawa sehingga ditidurkan semasa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.
Ibunya, Aminah Awang, 73, berkata, mangsa dikatakan bertugas di pencawang tersebut bersama seorang lagi kakitangan dengan menggunakan kren pengangkat (skylift) kira-kira pukul 6.30 petang.
Katanya, kejadian berlaku ketika mangsa berada di dalam bakul kren tersebut setinggi tiga meter untuk membaik pulih pencawang itu sebelum diserang ratusan tebuan.
“Anak saya dikatakan tidak sempat mengelak serangan tebuan itu. Keadaan itu menyebabkan Mohd. Hasmawi menekan punat turun bakul skylift sebelum dia terus terjun ke atas lori dan melarikan diri.
“Melihat keadaan anak saya yang lemah, rakan sekerjanya yang berada di lokasi kejadian terus membawa Mohd. Hasmawi ke Kota Bharu Medical Centre (KBMC) sebelum dirujuk ke HRPZ II untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Aminah memberitahu, anaknya kini terpaksa ditidurkan di sebuah wad di KBMC kira-kira pukul 7 pagi semalam.
Menurutnya, ketika kejadian berlaku, menantu dan cucu turut berada di lokasi kejadian kerana mereka baru pulang daripada makan di sebuah restoran.
“Isteri dan anaknya berada di dalam kereta sementara menunggu Mohd. Hasmawi membaik pulih pencawang itu. Tiba-tiba, dia diserang tebuan pula semasa bekerja.
“Difahamkan, anak saya sudah berjanji dengan rakan sekerjanya untuk membaik pulih pencawang elektrik di kawasan berkenaan kelmarin,” katanya.
Tambah Aminah, kejadian diserang tebuan itu merupakan insiden terburuk yang menimpa Mohd. Hasmawi sepanjang 10 tahun bekerja sebagai juruteknik. – KOSMO! ONLINE