JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri menubuhkan Jawatankuasa Projek Sakit dan Terbengkalai (JSTP) bagi menangani isu perumahan yang membelenggu pembeli kediaman di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, melalui usaha tersebut, pihaknya berjaya menyelesaikan enam projek sakit melibatkan keseluruhan 1,073 unit kediaman dengan nilai hartanah RM260.75 juta.
Menurut beliau, jawatankuasa tersebut turut disertai kesemua 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Johor.
“Untuk tahun 2022 dan 2023, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah intervensi dan berjaya menyelesaikan enam projek sakit dan satu projek terbengkalai menjelang Oktober 2023 hingga ke peringkat penerima sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dan serahan kunci.
“Penyelesaian ini melibatkan jumlah unit rumah sebanyak 1,073 unit dengan nilai hartanah RM 260.75 juta. Langkah ini diambil walaupun sedar isu projek sakit dan terbengkalai bukan dalam bidang kuasa Kerajaan Negeri,” katanya kepada pemberita selepas meninjau beberapa projek sakit dan terbengkalai di bandar raya ini.
Tambah Mohd. Jafni, pihaknya menyasarkan untuk menyelesaikan lima lagi projek sakit dan satu projek terbengkalai pada tahun depan.
“Usaha ini melibatkan sebanyak 1,776 unit kediaman dengan nilai hartanah berjumlah RM682.66 juta.
“Atas usaha ini, kita anggar nilai hartanah projek sakit dan terbengkalai yang telah diselesaikan mencecah sehingga RM1 bilion sepanjang tempoh tiga tahun iaitu 2022, 2023 dan 2024,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE