PETALING JAYA – Penyanyi dan pelakon Nabila Razali masih belum bersedia untuk mengumumkan status pertunangannya dengan ahli perniagaan, Nik Iruwan Nik Izan.
Nabila atau nama sebenarnya, Nur Nabila Mohd .Razali, 30, berkata, dia mengharapkan agar khalayak menghormati privasinya.
“Buat masa sekarang saya tak mahu buat keluarkan apa-apa kenyataan, cuma saya harap orang ramai menghormati privasi saya. Sekiranya saya sudah bersedia, insya-Allah saya akan umumkan perkara yang sahih.
“Bagaimanapun, saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk pihak media di atas keprihatinan untuk tahu perkembangan peribadi saya,” katanya kepada Kosmo! selepas membuat persembahan di Karnival Mega Suria di Padang Timur Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, malam tadi.
Ditanya tentang sama ada sebentuk cincin di jarinya adalah cincin pertunangan dengan lelaki terbabit, penyanyi lagu Peluang Kedua itu menjelaskan, apa yang digayakan hanya aksesori.
“Memang saya suka aksesori dan kadang-kadang saya pakai pada jari yang berbeza-beza. Bagi saya itu satu aksesori yang tak perlu dipersoalkan.
“Saya tak lama dan tak baru dalam industi ini, tapi saya percaya sekiranya tujuan berada dalam industri ini betul, maka tiada masalah.
“Untuk sesetengah perkara saya putuskan untuk tidak keluarkan sebarang kenyataan rasmi,” katanya.
Ditebak pertanyaan sama ada hatinya kini milik seseorang, Nabila juga memilih untuk tidak mengulas lebih panjang.
“Saya berkawan dengan ramai orang, tapi saya tak rasa ini adalah isu yang perlu diperbesarkan.
“Tapi saya tetap bersyukur sebab orang di sekeliling sangat prihatin dengan perkembangan saya,” jelasnya.
Terdahulu, media melaporkan Nabila sudah melangsungkan pertunangan dengan Nik Iruwan dalam satu majlis tertutup yang hanya dihadiri ahli keluarga dan kenalan rapat. – KOSMO! ONLINE