PARIS – Jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique dianggap pelik apabila langsung tidak bimbang selepas skuad kendaliannya tewas 2-3 kepada OGC Nice pada aksi Ligue 1 di Stadium Parc des Princes awal pagi semalam.
Walaupun beraksi di laman sendiri, namun mereka gagal untuk memanfaatkan peluang tersebut bagi mengutip tiga mata, sekali gus menjadi kekalahan pertama Enrique bersama PSG.
Pada perlawanan itu, penyerang PSG, Kylian Mbappe menjaringkan dua gol, namun ia masih belum mencukupi apabila Nice menjaringkan tiga gol menerusi dua jaringan Terem Moffi serta satu gol Gaetan Laborde.
“Saya gembira dengan aksi keseluruhan ditampilkan semua pemain pada hari ini (semalam), tidak ada sebarang kekesalan. Apabila semua pemain sudah berikan 100 peratus, saya enggan terlalu merungut.
“Kami berada pada fasa proses dan perkara seperti ini adalah biasa. Saya percaya semua pemain tahu mengenai perkara ini, namun saya tidak risau apabila kalah kerana menganggapnya adalah proses,” kata Enrique.
Pada masa sama, bekas pengendali Barcelona itu turut memuji aksi ditampilkan Nice selain menganggap taktikal yang diterapkan berjaya memerangkap pemain-pemain PSG, sekali gus mendedahkan kelemahan mereka.
“Nice bukanlah satu pasukan yang mudah untuk ditewaskan, mereka memiliki perancangan cukup baik sehingga meletakkan kami dalam keadaan sukar. Saya akui serangan balas pantas mereka cukup berbahaya,” ujar beliau. – AGENSI