PERSIAPAN jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang untuk ke temasya Sukan Asia Hangzhou sedikit terganggu selepas terlibat dalam kemalangan kelajuan tinggi sewaktu sesi latihan di Velodrom Nasional Nilai, Negeri Sembilan, kelmarin.
Azizulhasni yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman berkongsi rakaman video kemalangan terbabit di Facebook miliknya yang menyaksikan dia terjatuh ketika sedang memecut laju bagi mengejar motosikal di hadapannya.
Pelumba kelahiran Terengganu tersebut menjelaskan, dia terlibat dalam kemalangan berbahaya itu selepas basikal yang ditunggang berdepan kegagalan mekanikal.
Bagaimanapun, katanya, dia tidak mengalami kecederaan serius akibat daripada kemalangan terbabit.
“Sekadar untuk berkongsi dengan semua yang saya terbabit dengan kemalangan kelajuan tinggi ketika sesi latihan disebabkan kegagalan mekanikal.
“Kemalangan itu berlaku di selekoh pertama velodrom ketika saya sedang memecut laju bagi mengejar motosikal di hadapan saya. Saya bersyukur kemalangan ini tidak mengakibatkan perkara lebih buruk. Ia sebenarnya boleh mendatangkan kecederaan yang serius.
“Sebarang kemalangan yang berlaku dalam situasi ini bukan bahan jenaka. Alhamdulillah, Allah selamatkan saya,” kata Azizulhasni.
Azizulhasni ketika ini dalam persiapan bagi menghadapi Sukan Asia Hangzhou yang bakal bermula dari 23 September hingga 8 Oktober ini dan dia akan menyertai dua acara di Hangzhou iaitu pecut individu dan keirin.
Pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, Azizulhasni berjaya membawa pulang satu pingat emas menerusi acara pecut selain turut meraih pingat perak (pecut berpasukan) dan gangsa untuk acara keirin.