fbpx

789 juta orang tidur dalam keadaan lapar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kanak-kanak mengambil makanan yang diedarkan sukarelawan di bandar Kharkiv pada 17 Februari lalu. - AFP

GENEVA, Switzerland – Agensi Makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa lebih 700 juta orang  terjejas akibat krisis kelaparan di seluruh dunia dan berdepan ketidakpastian bekalan makanan.

Laman berita Wion News memetik Ketua Program Makanan Sedunia (WFP), Cindy McCain sebagai berkata, permintaan untuk bekalan makanan berterusan meningkat, sedangkan dana bantuan kemanusiaan pula semakin berkurangan.

Menurut WFP yang berpangkalan di Rom, Itali dan beroperasi di 79 negara, dianggarkan 789 juta orang atau satu dalam setiap 10 penduduk dunia dilaporkan tidur dalam keadaan lapar pada setiap malam.

Pada tahun ini, lebih 345 juta orang menghadapi tahap ketidakjaminan makanan yang serius, meningkat daripada sekitar 200 juta orang pada awal 2021 sebelum pandemik Covid-19 berlaku.

Terma tersebut merujuk kepada mereka yang tidak pasti akan dapat makan pada waktu seterusnya.

“Kita kini hidup dalam krisis semasa dan krisis jangka masa panjang yang akan terus memerlukan bantuan kemanusiaan global. Ini adalah realiti baharu masyarakat manusia,” kata McCain.

Tambah beliau, anggaran agensi itu menunjukkan bahawa kira-kira 47 juta individu di lebih 50 negara kini berada di ambang kebuluran.

Laporan membimbangkan itu termasuk kira-kira 45 juta kanak-kanak bawah usia lima tahun yang bergelut dengan kekurangan zat makanan serius ketika ini.

“Cabaran kolektif kami adalah meningkatkan perkongsian cita-cita daripada pelbagai sektor untuk menangani masalah kebuluran dan kemiskinan global secara berkesan serta mengurangkan krisis  kemanusiaan dalam jangka masa panjang,” kata ­McCain kepada ketua-ketua perniagaan.

Pada pertemuan tersebut, di Geneva, beliau merayu mereka untuk memberi tumpuan kepada perkongsian awam-swasta bagi menangani krisis makanan.

Semasa sidang sama, ­Ketua Pegawai Eksekutif Mastercard, Michael Miebach berkata, bantuan kemanusiaan sudah lama menjadi domain kerajaan, manakala sektor swasta dan institusi pembangunan dianggap sebagai sumber derma kewangan untuk membeli bekalan makanan.

“Wang masih penting, namun syarikat swasta boleh menawarkan lebih banyak sumbangan lain. Pihak swasta bersedia menangani cabaran ini bersama sektor awam,” kata Miebach.

Miebach menekankan bahawa ‘perniagaan tidak boleh berjaya dalam dunia yang gagal’ dan rakyat kini terjejas oleh krisis kemanusiaan di seluruh dunia.

Menurutnya, sesebuah perniagaan perlu menggunakan kepakaran untuk mengukuhkan infrastruktur supaya ‘boleh mencipta inovasi  baharu dan menyampaikan penyelesaian secara berskala’ untuk menambah baik operasi kemanusiaan. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN