fbpx

50,000 hektar tanah di Sarawak dibangunkan tanaman padi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid menyampaikan bantuan PPRT Baik Pulih Rumah kepada salah seorang penerima sempena Program Santuni Rakyat di Dewan Terbuka SK Haji Bujang, Sebangan hari ini.

KOTA SAMARAHAN – Seluas kira-kira 50,000 hektar kawasan di Sarawak bakal dibangunkan untuk tanaman padi, bagi meningkatkan lagi pengeluaran padi dalam negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kawasan-kawasan itu sudah dikenal pasti namun belum dimuktamadkan.

“Pada prinsipnya, Premier Sarawak (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) bersetuju dan mengenal pasti kawasan-kawasan yang luas tetapi dari segi pelaksanaannya, ia memerlukan sedikit waktu.

“Ini kerana peruntukannya kita akan koordinasikan dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan termasuk soal persetujuan dengan pemilik tanah,” katanya dalam sidang media selepas Program Santuni Rakyat di Dewan Terbuka SK Haji Bujang, Sebangan di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, berdasarkan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), pelaksanaan tanaman lima musim bagi tempoh dua tahun memerlukan kos yang tinggi iaitu RM3 bilion.

Namun, katanya, soal kos diletakkan sebagai perkara kedua kerana kepentingan adalah untuk kemampuan sara diri, dengan bekalan beras mencukupi termasuk di Sarawak dan Sabah.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, pihaknya telah meminta FELCRA Berhad untuk membantu mewujudkan estet padi di Sarawak, sebagaimana yang ada di Perak.

“Ada negara pembekal mula memikirkan untuk tidak lagi membekalkan beras, saya tidak mahu sebut negara-negara itu sebab ini melibatkan hubungan diplomatik tetapi kita mesti berkemampuan untuk menghasilkan beras kita sendiri,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI