BRASILIA, Brazil – Sebuah pesawat terhempas di Brazil yang mengorbankan kesemua 14 penumpang termasuk kru, ketika cuba mendarat semasa cuaca ribut, lapor akhbar The Sun UK.
Pesawat EMB-110 itu dalam penerbangan dari bandar Manaus ke wilayah Barcelos di negeri Amazonas apabila tragedi tersebut berlaku.
Gabenor negeri berkenaan, Wilson Lima menulis di platform X dengan berkata: “Saya amat berdukacita atas kematian 12 penumpang dan dua kru yang menjadi mangsa nahas pesawat di Barcelos pada Sabtu. Pasukan kami telah berusaha untuk memberikan sokongan yang diperlukan.”
Mayat kesemua mangsa telah ditemui dan dibawa ke sebuah sekolah terdekat. Sebuah pesawat Tentera Udara Brazil kemudian tiba dan membawa semua mayat kepada keluarga terlibat.
Agensi berita AFP melaporkan, pesawat tersebut ketika kejadian sedang terbang menghampiri sebuah pekan kecil dalam cuaca hujan lebat dengan jarak penglihatan yang terhad.
Ia gagal mendarat dengan sempurna, menyebabkan kesemua 12 penumpang dan dua kru terbunuh, kata Setiausaha Keselamatan negeri Amazonas, Vinicius Almeida dalam satu sidang akhbar. – Agensi