DUBAI, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) – Percubaan menyeludup masuk 13 tan dadah berupa pil captagon bernilai lebih AS$1 bilion (RM4.68 bilion) disembunyikan di dalam pintu dan panel hiasan bangunan berjaya digagalkan, kata Kementerian Dalam Negeri UAE kelmarin.
Menurut saluran berita CNN, polis Dubai turut menahan enam suspek yang mempunyai kaitan dengan kartel jenayah antarabangsa susulan rampasan pil captagon tersebut yang dianggap terbesar di dunia.
Dadah itu disembunyikan di dalam 432 keping panel perabot mewah dan 651 pintu diperbuat daripada besi serta kayu, kata kementerian sama sambil menambah, polis mengambil masa beberapa hari untuk mengeluarkan kesemua dadah tersebut.
“(UAE) berdiri sebagai kubu yang tidak dapat ditembusi oleh sebarang ancaman yang bertujuan menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat Emiriyah,” kata Menteri Dalam Negeri, Sheikh Saif bin Zayed Al Nahyan dalam satu kenyataan di laman X kelmarin.
Video pengawasan yang dikongsi oleh Kementerian Dalam Negeri UAE kelmarin menunjukkan beberapa suspek cuba membawa pil captagon itu melalui Pelabuhan Jebel Ali di Dubai.
Pihak berkuasa UAE merampas ratusan ribu pil captagon sejak 2019 dan pada Jun tahun lepas, kastam Abu Dhabi berkata, pihaknya telah merampas hampir 175,000 pil itu antara awal 2019 hingga Mei tahun ini.
Captagon pada asalnya adalah nama jenama untuk produk perubatan mengandungi perangsang sintetik, fenethylline.
Dadah tiruan yang membawa nama captagon kerap dirampas di rantau Asia Barat, demikian menurut Pusat Pemantauan dan Ketagihan Dadah Eropah.
Pakar-pakar berkata, sebahagian besar pengeluaran captagon global berlaku di Syria. – AGENSI