fbpx

Taktik jadikan hotel bajet pusat transit PATI dihidu Imigresen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara PATI yang ditahan dalam Ops Gelombang V di Kelantan, baru-baru ini.

PUTRAJAYA – Taktik menjadikan hotel bajet sebagai pusat transit penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) terbongkar dalam Ops Gelombang V di Kota Bharu, Kelantan pada Rabu lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, dalam serbuan 10.20 pagi itu pihaknya menahan seramai 51 orang PATI terdiri daripada warganegara India iaitu 39 lelaki dan perempuan (empat).

Turut ditahan warganegara Pakistan lelaki dan perempuan masing-masing dua serta kanak-kanak lelaki warganegara Thailand (empat) dengan kesemua berusia lingkungan dua tahun hingga 60 tahun.

“Turut ditahan ahli sindiket tersebut iaitu lima orang lelaki warga tempatan yang terdiri daripada pemilik hotel bajet ini, dua orang penjaga premis dan dua orang transporter yang kesemua mereka berumur diantara 23 hingga 57 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jelasnya, sindiket yang aktif sejak pertengahan tahun lalu menggunakan modus operandi menyeludup PATI terutamanya warganegara India yang memasuki negara ini melalui negara jiran dengan menggunakan laluan haram di sempadan.

“PATI ini akan diangkut menggunakan kenderaan oleh ‘transporter’ tempatan dan akan dikumpulkan di rumah transit ini sebelum dihantar ke lokasi-lokasi tertentu, ujarnya.

“Hasil siasatan awal juga mendapati, sindiket ini mengenakan bayaran antara RM8,000 hingga RM10,000 bagi setiap seorang PATI,” katanya.

Dalam serbuan berkenaan pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah RM5,300, pasport India (42) dan kenderaan sedan serta pelbagai guna (empat).

Ruslin berkata, kesemua PATI ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah manakala lima lelaki tempatan direman selama enam hari.

“Jabatan ini akan membanteras habis-habisan sindiket penyeludupan manusia dalam menguatkuasakan undang-undang demi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

“Tindakan tegas akan dikenakan ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Paspot 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI