fbpx

Simulasi DMex tingkat kesiapsiagaan jabatan berkaitan hadapi bencana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Simulasi DMex di Hospital Teluk Intan hari ini meningkatkan kesiapsiagaan jabatan berkaitan untuk menghadapi situasi kecemasan dan bencana.

TELUK INTAN – Simulasi Latihan Pengurusan Bencana (DMex) di Hospital Teluk Intan hari ini dilaksanakan menerusi tiga senario yang bermatlamat untuk meningkatkan kesiapsiagaan semua jabatan terlibat menghadapi kemalangan dan bencana.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, tiga senario yang dilaksanakan tersebut ialah letupan dan kebakaran di wad pesakit, kebocoran bahan radioaktif di bilik Jabatan X-ray dan runtuhan bangunan.

“Operasi yang digerakkan di setiap situasi tersebut dilakukan dengan integrasi antara jabatan berdasarkan peruntukan di bawah Arahan Majlis Keselamatan Negara No 20 dan Sistem Pengurusan Insiden (IMS). Eksesais seperti ini memberi pengalaman kepada semua agensi penyelamat untuk bersiap siaga sekiranya berlaku kejadian sebenar.

“Kita tahu peranan masing-masing dan gerak kerja yang perlu dilakukan tanpa berlaku pertindanan tugas, bahkan komunikasi juga lebih terancang supaya operasi menyelamat dijalankan lebih lancar dan berkesan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menerusi simulasi tersebut, beberapa siri letupan menggegarkan wad unit rawatan rapi (ICU) hospital tersebut dan menyebabkan runtuhan bangunan serta kebakaran berlaku.

Laporan pasukan penyelamat menunjukkan bahawa kejadian sekitar pukul 11 pagi itu menyebabkan sekurang-kurangnya 30 mangsa terperangkap dengan 10 daripadanya merupakan pesakit cedera parah.

Operasi menyelamat dan mengeluarkan mangsa digerakkan oleh 140 anggota daripada pelbagai agensi diketuai JBPM bersama polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart), Paramedik, Jabatan Kesihatan, Rela dan bantuan Unit Udara Bomba.

Dalam pada itu, Sayani berkata, Perak setakat ini belum merekodkan insiden besar melibatkan bangunan hospital seperti yang pernah berlaku di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru pada 2020.

Menurut beliau, kebanyakan kes dilaporkan di negeri ini melibatkan insiden kebakaran kecil yang tidak memerlukan operasi pemindahan pesakit.

“Di kebanyakan hospital, mereka mempunyai Organisasi Keselamatan Kebakaran (OKK) yang bertindak sebagai responden pertama sekiranya berlaku bencana dan kemalangan di premis. Mereka adalah kakitangan yang menerima latihan khusus daripada bomba dan berkeupayaan melakukan tindakan awal menyelamatkan mangsa sebelum ketibaan bantuan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI