fbpx

Sesuap nasi membezakan harapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PROMAK membantu perkembangan mental dan fizikal pelajar dalam satu persekitaran yang positif dan progresif.

“UMMI nak masuk TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia),” itu ungkapan yang tidak lekang daripada bibir Noor Ummi Umairah Mohammad Rosly, murid darjah enam di Sekolah Kebangsaan Sungai Kandis, Pasir Putih, Kelantan.

Kesungguhan Ummi terserlah pada sinar mata dan nada suaranya ketika berkongsi cita-cita setelah tamat pelajaran nanti.

“Ummi akan berusaha bersungguh-sungguh untuk cemerlang dalam pelajaran dan bersukan kerana ini yang akan membantu Ummi untuk masuk TUDM nanti.

“Saya dan kawan-kawan dapat makan tengah hari di sekolah, jadi kami boleh berlatih sukan dengan baik di sebelah petang,” kata Ummi yang juga merupakan seorang atlet olahraga sekolah di peringkat daerah.

MOHAMMAD ROSLY dan isteri gembira melihat keperluan pemakanan Ummi di sekolah kini terjaga dan membantu usaha anak bongsunya itu mengejar cita-cita.

Ummi merupakan salah seorang penerima bantuan Program Makanan Kesihatan (PROMAK) yang ditaja oleh Kumpulan BERNAS dalam usaha untuk membendung kelaparan tersembunyi (hidden hunger) dalam kalangan pelajar sekolah rendah.

PROMAK yang dilaksanakankan dengan sokongan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan merupakan satu inisiatif bantuan sosial berbentuk tawaran makanan tengah hari percuma yang seimbang kepada pelajar kurang berkemampuan di sekolah-sekolah luar bandar yang terpilih.

Anak kelapan dan bongsu kepada Mohammad Rosly Che Pa ini tekad menyimpan cita-cita untuk berkhidmat kepada negara, mengikut jejak langkah abangnya yang juga merupakan seorang pegawai TUDM.

“Ini cita-cita dan masa depan dia, kami akan sokong dan doakan kejayaan dia.

“Tiada apa yang lebih menggembirakan hati daripada melihat Ummi menggenggam impiannya,” kata Mohamad Rosly dan isteri.

Setiap ibu bapa mahukan yang terbaik buat anak-anak mereka, namun cabaran membesarkan anak dalam keadaan serba kekurangan menjadi punca kualiti hidup terpaksa dikompromi.

Kegusaran ini terserlah di mata seorang bapa yang redup mere­nung masa depan anak-anaknya.

Keadaan jantungnya yang lemah merumitkan lagi keadaan apabila dia tidak dapat turun ke bendang. Gaji harian diperoleh dengan melakukan kerja-kerja kampung yang ringan sekadar cukup untuk keperluan asas keluarga.

Bagaimanapun, Mohammad Rosly kini dapat menarik nafas lega apabila sekolah Ummi terpilih sebagai salah sebuah sekolah penerima bantuan PROMAK tajaan Kumpulan BERNAS.

Ia me­ngangkat sedikit bebanan seorang bapa yang mengimpikan masa depan cemerlang buat anak-anaknya.

HAZARIMI (kiri) yakin anaknya di sekolah tidak kelaparan lagi kerana adanya program PROMAK.

Seorang lagi bapa penerima bantuan, Hazarimi Abd. Halim turut berkongsi sentimen dan rasa penghargaan serupa.

“Kami orang kampung yang menyara hidup dengan membuat kerja-kerja kampung, pendapatan pun tidak menentu, kalau hujan, kami tidak boleh menoreh, maka tiada pendapatan untuk hari itu.

“Dengan bantuan PROMAK, saya lega anak-anak saya tidak berlapar di sekolah,” tambahnya.

Pendekatan menyeluruh PROMAK

Dalam masa setahun perlaksanaan PROMAK di empat buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang melibatkan 93 buah sekolah rendah, sebanyak 2.5 juta hidangan telah diberikan kepada hampir 20,000 orang pelajar.

Objektif dan strategi pengurusan PROMAK bersifat menyeluruh dan tidak tertumpu kepada pembekalan makanan percuma semata-mata.

Terdapat tujuh aspek utama yang menjadi fokus di bawah program ini iaitu makanan, kesihatan, akademik, ekonomi, sara hidup, kesihatan mental dan ko-kurikulum. Kesemua aspek ini penting dalam membentuk perkembangan fizikal dan minda pelajar yang seimbang dan harmonis.

Lawatan pemantauan bertujuan menilai pelaksanaan program turut dilakukan secara berterusan bagi melihat sendiri aspek keselamatan, kebersihan, pematuhan dan penyediaan menu serta pe­ngasingan sisa makanan oleh pihak sekolah, pengusaha kantin dan syarikat pengurusan sisa yang dilantik.

Turut ditinjau keadaan pelajar bagi menilai impak keseluruhan program ke atas perkembangan mereka.

Modul PROMAK akan turut meliputi program kesedaran tentang tabiat pemakanan sihat agar sekolah dapat melahirkan para pelajar yang lebih cakna soal diet seimbang dan nutrisi makanan.

MOHD. HAZIQ IMRAN (kanan) bersyukur kerana bantuan PROMAK dapat mengeratkan lagi hubungannya dengan rakan-rakan.

Para pelajar turut menyatakan perasaan gembira kerana dapat berkumpul dan makan bersama rakan-rakan dalam satu persekitaran yang positif dan menyeronokkan.

“Apabila kami duduk dan makan bersama, persahabatan kami lebih erat dan saya seronok,” kata Mohd. Haziq Imran, 12 tahun.

“Kami bukan sahaja berkongsi makan, sambil makan kami akan berkongsi cita-cita, berkongsi kisah susah senang dan cuba saling membantu sesama kawan,” kata Ummi sambil tersenyum.

Makanan untuk masa depan

Masa depan negara amat bergantung kepada pembangunan insan yang berkualiti. Program makanan di sekolah dilihat sebagai jaringan keselamatan sosial yang penting dalam mencapai matlamat tersebut.

Melihat kepada situasi semasa, tidak dapat dinafikan bahawa keselamatan makanan akan sentiasa terdedah kepada perubahan iklim, konflik dan kecemasan di peringkat global, namun program makanan sekolah akan bertindak sebagai benteng dalam memastikan pelajar dilindungi daripada kesan pendapatan isi rumah yang tidak menentu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI