PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menasihati para pemimpin supaya sentiasa bersatu padu untuk memastikan gabungan yang dibina terus utuh dalam ucapan Hari Malaysianya, hari ini.
Menurutnya dalam sebuah hantaran di laman Twitter, enam dekad bukanlah satu tempoh masa yang singkat bersama di dalam sebuah gabungan yang digelar sebagai Malaysia.
“Dalam tempoh tersebut, banyak yang kita lalui bersama. Ada kenangan manis dan tak kurang juga yang pahit. Apa pun, amat perlu kita toleh ke belakang apabila kita mahu maju ke hadapan.
“Tujuan asal kita tubuh Malaysia ialah untuk pastikan pengaruh komunis tidak bertapak di Semenanjung Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak. Walaupun Singapura bukan sebahagian kita lagi, tetapi kita semua telah berjaya menyekat komunis bertapak,” katanya.
Tambah Dr Mahathir, kesepakatan tersebut juga merupakan tanda persetujuan bersama bersama sebagai usaha ke arah kemerdekaan Sabah dan Sarawak di samping bertujuan untuk mengembangkan ekonomi dan membangun bersama.
“Ada ketika timbul rasa kurang senang di antara satu sama lain. Ia perkara biasa di dalam mana-mana penyatuan wilayah-wilayah berbeza.
“Yang penting, selagi pemimpin dan pemikir yakin bahawa bersatu itu teguh dan bercerai akan roboh, Insya Allah gabungan kita akan terus utuh,” katanya.
Menurutnya lagi, Hari Malaysia perlulah disambut dengan semangat sedemikian kerana itulah asas kepada gabungan yang dibina selama ini.
“Kesatuan kita di dalam kepelbagaian dan kepelbagaian kita di dalam kesatuan. Ini kita sambut tanpa ketepikan asal-usul dan menafi sejarah pembentukan negara bangsa ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE.