fbpx

Piala Malaysia: TFC berjaya jinak Selangor 2-0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mamut meraikan gol sulung TFC sewaktu menewaskan Selangor 2-0 pada aksi pertama suku akhir Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus hari ini.

KUALA NERUS – Terengganu FC (TFC) bergaya menewaskan Selangor 2-0 menerusi satu gol di setiap penghujung babak pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan TFC sedikit lega bertandang ke laman lawan bagi pertemuan timbal balik, 24 September nanti.

TFC hanya memerlukan lima minit untuk menguji penjaga gol Selangor, Samuel Somerville di gawang lawan yang dipaksa bekerja keras menyelamatkan situasi satu lawan satu berdepan Ivan Mamut.

Skuad Sang Penyu terus garang apabila bola umpanan Engku Nur Shakir Engku Yacob singgah di kaki Mamut namun rembatannya minit ke-23 dihalang Safuwan Baharudin untuk sepakan sudut.

TFC bagaimanapun cemas seminit kemudian itu selepas Selangor mula mengatur gerak dari bahagian tengah mujur percubaan kencang Ayron Rodriguez berjaya ditepis penjaga gol, Mohd. Suhaimi Husin.

Kem TFC akhirnya lega selepas Mamut menyudahkan sepakan penalti dalam masa tambahan separuh masa pertama gara-gara kekasaran bek kanan Selangor, Quentin Cheng ke atas Nurillo.

Mendahului 1-0, TFC begitupun kehilangan rentak pada babak kedua dan membenarkan pelawat menguasai permainan menerusi tandukan Richmond (m-58) yang ditepis Mohd. Suhaimi.

Sewaktu Selangor nyaris mengikat kedudukan selepas sepakan Ayron (m-82) menggegar palang disusuli tolakan jarak dekat Brendan Gan (m-89), TFC memperoleh gol keduanya malam ini.

Pemain gantian, Muhamad Syahmi Zamri bijak melepasi kawalan pertahanan Selangor dan menanduk hantaran Nik Sharif Haseefy Mohd. Lazim dalam masa kecederaan untuk kemenangan 2-0 buat TFC. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI