PETALING JAYA – Sistem pendidikan negara yang diperkenalkan disifatkan antara faktor membolehkan rakyat Malaysia mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang di peringkat antarabangsa.
Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Datuk Dr. Jeniri Amir berkata, sistem pendidikan yang diperkenalkan telah membuka ruang yang sama rata kepada rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.
“Kita tidak boleh menafikan terdapat kelemahan pemerintahan kerajaan, namun sistem pendidikan negara telah berjaya memberi peluang kepada semua rakyat untuk mencipta kejayaan dalam bidang masing-masing termasuk sains dan sukan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, peningkatan kejayaan anak Malaysia pada hari ini dan sebelumnya harus dilihat sebagai satu cabaran kepada kerajaan pada masa sekarang untuk terus berusaha dalam mencungkil bakat anak muda.
“Kerajaan harus mencari jalan dalam memperbaiki sistem sedia ada untuk membolehkan lebih banyak bakat golongan muda dapat dicungkil seterusnya membantu negara terus maju di masa hadapan,” ujarnya.
Beliau dalam pada itu memberi contoh kejayaan Nur Ain Nabilah Tarmizi dan Aleena Ahmad Nawawi membantu negara menamatkan kemarau 15 tahun apabila muncul juara di Kejohanan Boling Padang Dunia menerusi kategori beregu wanita.
Menurutnya, kejayaan terbabit cukup bermakna apabila kedua-dua pasangan itu baharu saja digandingkan pada tahun ini, namun mampu ‘meletup’ di persada antarabangsa dengan menumpaskan pemain lebih hebat dan berpengalaman.
Dalam pada itu, Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim berkata, kejayaan yang ditampilkan rakyat Malaysia di persada dunia boleh dijadikan cerminan bagaimana pentadbiran sesebuah negara selain mampu menyuntik semangat cintakan negara.
“Setiap warga Malaysia yang mencatat kejayaan di peringkat antarabangsa semestinya memberi gambaran baik mengenai negara tersendiri selain terus mengharumkan nama negara.
“Kita harus bersyukur apabila ramai rakyat Malaysia yang berjaya di peringkat dunia dan berharap agar lebih ramai mengambil peluang untuk meneroka bidang-bidang tertentu,” katanya.
Jelasnya, kejayaan di peringkat dunia mampu memberi suntikan kepada golongan muda untuk terus menghargai usaha keras masyarakat terdahulu dalam mengekalkan perpaduan.
“Kini agak ramai juga warganegara yang lahir setelah negara merdeka dan tidak faham konsep kemerdekaan di dalam sebuah negara yangg berdaulat, selain wujud generasi muda yang lupa sejarah,” ujarnya.