LARUT – Pembangkang akan menunjukkan solidariti menyokong pembentangan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke 12 (RMK-12) bergantung kepada situasi sesi penggulungan pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat di Parlimen Isnin ini.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sekiranya sesi penggulungan itu nanti memberi kelegaan kepada rakyat maka pembangkang akan menyokong penuh ketika undian pada Selasa nanti.
“Kita akan tengok dahulu sama ada jawapan pada sesi penggulungan itu melegakan rakyat atau sebaliknya. Jika ia melegakan maka kita beri sokongan namun sekiranya berlaku sebaliknya maka kita ada jawapan yang tersendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri dan merasmikan Mesyuarat Bersatu Cawangan Sungai Pulau di Kampung Sungai Akar Batu Kurau disini, hari ini.
Sebanyak 17 anjakan besar antara intipati Kajian Separuh Rancangan Malaysia ke-12 dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di dewan rakyat pada 11 September lalu.
Langkah itu bertujuan memangkin pembangunan sosio ekonomi melalui tiga fokus iaitu memmperkukuhkan kemampanan,pembangunan sejahtera dan mencapai berpendapatan tinggi. – KOSMO! ONLINE