RUANGAN dengan konsep monokrom bukan hanya didominasi warna hitam putih, suntikan rona lain yang senada juga mampu menambah seri ruang yang ada.
Bagi pemilik nama Nurul Farehah Mohd. Nasir, konsep monokrom yang dipilih untuk ruangan apartmen berkeluasan 260 meter persegi di Sungai Buloh, Selangor itu ditambah dengan warna-warna bumi (earth tone) pastel.
Pilihan tersebut dibuat wanita berusia 34 tahun itu bagi mewujudkan suasana tenang dan nyaman pada kediaman miliknya yang dibeli pada 2016.
Menurut Nurul Farehah, gabungan warna hitam putih pada dinding serta rona hijau dan coklat pastel pada hiasan membuatkan rumah tampak minimalis serta tidak serabut.
“Saya pilih roma monokrom sebagai latar kerana suka warnanya yang nampak bold.
“Bagi menyederhanakan warna hitam, saya padankan dengan rona pastel.
“Saya suka tema yang minimalis dan ada unsur keselesaan. Unsur ini boleh didapati menerusi warna earth tone seperti hijau dan coklat kayu.
“Hasilnya, kebanyakan perabot dan hiasan rumah saya berwarna earth tone jenis pastel,” katanya yang bekerja sebagai guru sekolah.
Tambahnya, pemilihan unsur dan tekstur kayu pada perabotnya membuatkan ruang rumah tampak lebih mahal serta tidak lapuk ditelan zaman.
Hampir semua ruang rumah memiliki unsur-unsur kayu atau warna kayu yang mampu mencetuskan ‘mood’ seperti berada di resort tepi pantai.
“Saya juga sangat suka elemen dan tekstur kayu.
“Oleh itu, kami terapkan warna dan unsur kayu pada perabot rumah kami.
“Kebanyakan perabot dan aksesori rumah saya beli di Shopee dan secara dalam talian.
“Saya suka mix dan match elemen-elemen yang saya rasa sepadan,” katanya.
Mengulas mengenai cetusan idea untuk mendapatkan hasil hiasan dalaman yang memiliki nilai estetika di segenap sudut, wanita itu mendapatkan inspirasi daripada Pinterest, igHome dan Facebook.
“Daripada laman-laman web yang dirujuk, saya simpan gambar-gambar rumah yang ada menggabungkan warna bold monokrom dan pastel,” ujarnya.
Nurul Farehah bersama suami gemar melakukan pemasangan perabot dan hiasan secara do it yourself (DIY).
Kongsinya, kaedah DIY memberikan lebih kepuasan kerana ia merupakan hasil usaha mereka sendiri dan menjimatkan.
“Saya suka simpan gambar-gambar rumah yang selesa dan memiliki warna earth tone untuk dijadikan rujukan.
“Saya dan suami juga gemar menggunakan kaedah DIY sewaktu menata rias kediaman kami.
“Antaranya ‘backsplash’, cat dinding dan ‘wainscothing’.
“Suami juga banyak membantu dalam pemasangan barang-barang elektrik seperti lampu serta kipas,” katanya.
Kongsi Nurul Farehah lagi, mereka tidak melakukan pengubahsuaian yang besar kecuali untuk pemasangan kabinet dapur.
Justeru, anggaran kos ubah suai rumah kediamannya itu adalah dalam lingkungan RM3,000 termasuk perabot.
“Kami melakukan ubah suai rumah secara berperingkat dan tidak menggunakan khidmat pereka dalaman kediaman.
“Dalam pemilihan barangan pula, kami hanya beli barangan yang difikirkan berbaloi dan tahan lama.
“Dari situ banyak penjimatan boleh dilakukan,” ujarnya.