KUALA LUMPUR – Tanpa mengira tahap pendapatan dan kesihatan, kini semua lapisan masyarakat boleh memiliki pelan perlindungan hayat, Allianz Kasih4All serendah RM35 di bawah Inisiatif Insurans Rahmah.
Inisiatif yang pertama kali diperkenalkan dalam industri di Malaysia ini adalah salah satu usaha Kumpulan Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) untuk menyahut seruan kerajaan mengurangkan beban golongan B40 dan miskin tegar.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sean Wang berkata, inisiatif Rahmah itu memberi peluang kepada pihaknya untuk membuktikan komitmen terhadap insurans yang inklusif untuk semua.
Ujarnya, semua rakyat Malaysia tanpa mengira tahap pendapatan, berhak hidup bermaruah dan mengurangkan beban waris mereka.
“Kadar premium Allianz Kasih4All bermula dengan hanya RM35. Ramai orang bila dengar insurans, mesti akan fikir harga yang mahal dan rasa terbeban untuk memiliki perlindungan diri.
“Jadi bila kami (Allianz Malaysia) kata nak bantu, kami betul-betul ikhlas. Sebab itu tiada soalan tentang kesihatan peribadi atau tiada pemeriksaan kesihatan diperlukan ketika pembelian polisi.
“Pada kami, insurans tidak harus dilihat sebagai satu kemewahan, tetapi satu keperluan. Bukan sahaja golongan B40, malahan semua lapisan masyarakat boleh dapatkan insurans hayat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Pakej Insurans Rahmah Baharu, insurans Kereta Persendirian & Allianz Kasih 4 All di sini semalam.
Menurutnya, selain Allianz Kasih4All, dua lagi produk Insurans Rahmah baharu turut dirasmikan di bawah Pakej Kereta Persendirian Rahmah untuk Komprehensif dan Pihak Ketiga, Kebakaran dan Kecurian.
Katanya, ia menjadikan kesemua jumlah produk Insurans Rahmah di bawah Allianz Malaysia adalah lima, yang mana dua daripadanya dilancarkan Jun lalu iaitu inisiatif PerlindunganKu Allianz4All dan Allianz Motorcycle Plus.
Pakej Rahmah Kenderaan Persendirian menampilkan manfaat Rahmah istimewa, termasuk bantuan kemalangan peribadi RM5,000 apabila berlaku kematian atau kecacatan, elaun hospital sebanyak RM50 sehari untuk 60 hari, jika dimasukkan ke hospital akibat kemalangan dan manfaat bantuan banjir RM3,000 untuk satu kali.
Pakej tersebut ditawarkan secara automatik kepada pemegang polisi Kenderaan Peribadi Pihak Ketiga, Kebakaran dan Kecurian Allianz serta pelanggan Kenderaan Peribadi Komprehensif dengan kemampuan kubik (cc) bawah 1,500 dan jumlah yang diiinsuranskan di bawah RM30,000.
Bagi Allianz Kasih4All, ia boleh diperbaharui secara tahunan dengan pelan insurans tidak-terlibat dan perlindungan hingga 71 tahun.
Terdapat dua pelan yang boleh dipilih bagi produk itu dengan kadar premium untuk Pelan 1 dan Pelan 2, masing-masing bermula pada RM35 dan RM55 untuk mereka yang berumur antara 16 dan 40.
Untuk maklumat lanjut tentang Pakej Rahmah Kereta Persendirian dan Allianz Kasih4All serta produk Rahmah Allianz Malaysia yang lain, sila layari https://www.allianz.com.my/personal/whats-new/rahmah-insurance-bm.html atau hubungi ejen Allianz Malaysia berdekatan.