MANCHESTER – Pengendali Manchester United, Erik Ten Hag dijangka menurunkan dua pemain baharunya, Sofyan Amrabat dan Sergio Reguilon untuk aksi debut bersama pasukan itu menjelang aksi menentang Brighton di Old Trafford malam ini.
The Red Devils terdesak untuk kembali mempamerkan kebangkitan selepas mereka tewas pada aksi terakhir menentang Arsenal di Emirates sebelum saingan berehat untuk memberikan laluan kepada aksi antarabangsa.
Amrabat ketika ini sedang berjuang untuk mendapatkan tahap kecergasan terbaik menjelang aksi tersebut selepas berdepan kecederaan menyebabkan dia terlepas aksi kelayakan Piala Negara-Negara Afrika bersama Maghribi menentang Liberia dan Burkina Faso.
Laporan menyebut, Amrabat kembali ke Carrington untuk menjalani pemeriksaan dan pemulihan, namun Ketua Jurulatih Maghribu, Walid Regragui mengesahkan bahawa tujuan beliau menyisihkan pemain itu sebagai langkah berjaga-jaga.
Kehadiran Amrabat dan seorang lagi tonggak di bahagian pertahanan, Lisandro Martinez dianggap sangat penting buat United untuk memburu kemenangan ke atas Brighton selepas mereka kehilangan khidmat Antony dan Jadon Sancho.
Antony terpaksa diketepikan ekoran siasatan kes kekerasan jenayah yang sedang berjalan ke atasnya, manakala Sancho pula tersisih ekoran kritikan keras yang dilemparkan ke atas Ten Hag sebelum ini.
Selain Amrabat, seorang lagi pemain pinjaman, Reguilon juga dijangka berada dalam senarai pemain yang bakal diturunkan untuk aksi pertama bersama United pada aksi menentang skuad kendalian Roberto De Zerbi. – AGENSI