fbpx

Bina replika bendera gergasi pupuk semangat patriotisme masyarakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Replika Bendera Malaysia yang dibina oleh penduduk Ivory 1, Bandar Tasik Puteri, Rawang yang diilhamkan rakyat setempat

PETALING JAYA – Inisiatif Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Ivory 1 membina replika bendera Malaysia gergasi bukan sahaja berjaya memupuk semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat, ia juga kini menjadi sebuah mercu tanda kebanggaan penduduk setempat

Menurut Timbalan Pengerusi KRT Ivory 1, Zulfakhri Ramli, pembinaan projek susunan botol terpanjang di Malaysia yang terletak di Bandar Tasik Puteri, Rawang tersebut berjaya menyatupadukan penduduk setempat tanpa mengira usia, bangsa dan jantina.

“Projek pembinaan replika bendera gergasi yang dianjurkan secara gotong-royong ini melibatkan hampir 85 peratus penduduk Ivory 1. Kami telah buat perancangan selama lebih kurang sebulan untuk merealisasikannya.

“Bukan mudah untuk laksanakan projek ini. Setiap satu botol perlu dicat dan disusun satu persatu. Kami mengambil masa hampir 2 minggu untuk siapkan bahagian bendera sahaja.

“Namun, untuk mendirikan bendera tersebut, kami juga perlu bina tiang, pintu gerbang dan lantai. Semuanya dibuat sendiri oleh penduduk di sini,” jelasnya.

Tambahnya, projek yang diilhamkan oleh KRT Ivory 1 itu juga mendapat sokongan penuh masyarakat sehinggakan hampir setiap hari, ada yang sanggup turun padang untuk turut serta dalam proses pembinaan.

“Pada waktu itu, kami turun hari-hari. Boleh dikatakan, hampir 300 orang turut serta. Lebih meriah pada hujung minggu, kira-kira 30 hingga 40 orang penduduk akan turun padang untuk membantu.

“Kami bangga dengan pembinaan bendera gergasi ini yang kini menjadi mercu tanda penduduk setempat. Sedikit sebanyak, projek ini juga merupakan cara untuk kami tunjukkan semangat kebangsaan serta memupuk kerjasama antara penduduk,” jelasnya ketika ditemui wartawan Kosmo!, semalam.

Menurut Zulfakhri, pembinaan replika bendera gergasi setinggi 10 kaki tersebut merupakan satu bentuk manifestasi semangat perpaduan dan telah diterima baik dalam kalangan masyarakat setempat.

“Setiap individu yang mempunyai kepakaran sendiri cuba untuk menyumbang idea dan keringat masing-masing. Contohnya, bendera ini direka oleh seorang arkitek. Pemasangan lampu dan sebagainya dilakukan oleh individu yang pandai dalam pemasangan wayar. Kaum wanita pula, jika mereka tidak boleh bantu secara fizikal, mereka datang bawa makanan.

“Apabila penduduk tempatan nampak (hasil), semakin ramai yang turut serta kerana rasa teruja dengan apa yang kami lakukan. Setelah siap, replika bendera ini jadi tular buat seketika di kawasan Tasik Puteri sehingga ramai yang berhenti tepi jalan semata-mata untuk mengambil gambar,” katanya.

Tambahnya lagi, pembinaan bendera gergasi tersebut tidak akan menjadi kenyataan sekiranya penduduk setempat tidak mempunyai semangat kejiranan yang kuat.

“Penduduk di sini sangat bertimbang rasa dan mempunyai sikap toleransi antara satu sama lain. Apabila KRT lakukan program, ramai yang cuba turut serta. Ini melambangkan semangat perpaduan masih lagi kukuh dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI