SETIAP kaki pancing pasti mengidamkan untuk memancing di pelbagai lokasi atau ‘port’ sama ada di dalam atau luar negara.
Ini kerana, setiap ‘port’ memancing menawarkan pengalaman berbeza kerana ikan diburu juga berlainan dari segi spesies dan saiz.
Perkara itulah yang menarik minat seorang kaki pancing, Norshahreen Mohamad Norizan, 40, untuk mencuba nasib memburu ikan laut dalam di kawasan Terumbu Luconia, Miri, Sarawak.
Dia yang pertama kali memburu ikan laut dalam mengakui sangat teruja dengan trip disertainya, lebih-lebih lagi apabila berjaya menaikkan jumlah tangkapan banyak dan bersaiz besar.
“Saya memang seorang kaki pancing tegar dan jika ada peluang, saya akan memancing di pelbagai lokasi di seluruh negara.
“Apabila ditawarkan untuk mengikuti trip memancing laut dalam di Terumbu Luconia, saya tidak melepaskan peluang tersebut. Ini kerana, ‘port’ berkenaan merupakan idaman semua kaki pancing.
“Malah, saya tidak kisah apabila terpaksa mengeluarkan belanja hampir RM4,000 semata-mata untuk mengikuti trip berkenaan selama lima hari empat malam baru-baru ini,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai pengalamannya itu, kedalaman kawasan Terumbu Lucona yang mencecah sehingga 350 meter telah menjadikan kawasan tersebut sebagai habitat pelbagai spesies ikan laut dalam.
Norshahreen yang bekerja sebagai seorang jurutera dalam industri automotif memberitahu, sepanjang lima hari berada di tengah laut, dia bersama 23 rakan lain menaiki dua buah bot yang disewa khas.
Ujarnya, sepanjang tempoh itu mereka berjaya menaikkan pelbagai spesies ikan terumbu karang yang bukan sahaja bersaiz besar, tetapi jarang ditemui di kawasan lain.
“Antara spesies ikan yang kami dapat ketika memancing di Terumbu Luconia termasuklah ruby snapper, kerapu kertang, tuna, tuna gigi anjing, jemuduk atau gerepoh dan layaran.
“Saiz ikan yang besar juga membuatkan setiap daripada kami teruja memancing di terumbu ini,” katanya.
Bercakap mengenai teknik yang digunakan pula, dia yang lebih mesra disapa sebagai Yen memberitahu, biasanya, mereka menggunakan teknik ‘jigging’ kerana sesuai untuk memburu ikan dasar laut.
Set memancing digunakan pula akan dipasang dengan tali utama bersaiz antara 50 paun hingga 80 paun, dan dipadankan bersama perambut berkekuatan antara 60 hingga 100 paun.
“Bagi teknik ‘jigging’, biasanya saya menggunakan umpan tiruan bersaiz 100 hingga 500 gram bergantung kepada lokasi dan arus air.
“Jika ikan yang diburu bersaiz besar, maka umpan yang digunakan mestilah besar dan sepadan.
“Apa yang penting, pemancing haruslah pandai menggunakan umpan tiruan agar kelihatan seperti ikan sedang berenang bagi memikat ikan pemangsa,” ujarnya.
Katanya lagi, kesemua hasil tangkapan seberat satu tan itu tidak dijual kepada peraih, sebaliknya dibawa balik ke Semenanjung dengan menaiki kapal terbang, sebelum diagihkan kepada rakan-rakan dan saudara-mara.
Jelas Yen lagi, keseronokan dan pengalaman memancing ikan laut dalam sukar untuk digambarkan.
Katanya, setiap pemancing harus merasai sendiri pengalaman memancing di laut dalam, walaupun sekali seumur hidup mereka.