PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-90 kepada seluruh warga angkatan tentera, para veteran dan semua yang pernah berkhidmat bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurut sebuah hantaran di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda amat menyanjung tinggi jasa pihak ATM dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan negara.
“Seri Paduka Baginda menghargai khidmat bakti dan pergorbanan yang dicurahkan oleh seluruh warga dan bekas anggota ATM selama ini.
“Selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, Seri Paduka Baginda turut mendoakan agar roh perajurit negara yang telah terkoban dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman,” titahnya.
Dalam hantaran sama, Seri Paduka Baginda turut mendoakan semoga Angkatan Tentera Malaysia terus menjadi sebuah angkatan yang disegani dan dihormati di persada antarabangsa. – KOSMO! ONLINE